Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo menafikan kini parti itu kurang mendapat perhatian bangsa Cina hingga terpaksa ‘mencairkan kecinaannya’ untuk menarik sokongan bangsa lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata, dakwaan tersebut tidak benar memandangkan DAP menjaga hak semua rakyat dalam negara tanpa mengira bangsa sejak penubuhannya.

“DAP bukan untuk satu bangsa saja jadi tak timbul isu perlu cairkan bangsa tertentu untuk raih sokongan bangsa lain.

“Saya tak mahu beri penjelasan lebih banyak sudah cukup bukti DAP bukan parti untuk menjaga satu bangsa apabila ayah saya, mendiang Karpal Singh pernah dilantik sebagai pengerusi parti.

“Selain itu, saya juga mengingatkan semua orang agar tidak mempolitikan isu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Isnin lalu, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu berkata, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Lui berkata, DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politiknya.

Malah beliau berkata, DAP tidak boleh menggambarkan bahawa parti itu bukan parti Cina. – MalaysiaGazette