Foto hiasan
JOHOR BAHRU – Mana-mana Ketua Polis Daerah yang didapati melindungi anggota dan pegawainya yang terlibat sebarang kegiatan jenayah akan dikenakan tindakan segera.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah dipercayai sudah lama terlibat dalam kegiatan pemerasan.
Namun tindakan hanya dilaksanakan apabila mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Beliau merujuk kes pekerja Bangladesh yang menjadi mangsa kegiatan pemerasan dipercayai oleh anggota dan pegawai di IPD Batu Pahat, namun mangsa tampil di IPK Johor untuk membuat laporan polis.
Katanya, beliau  akan menyiasat sama ada laporan telah dibuat kepada Ketua Polis Daerah (OCPD) tetapi tiada tindakan diambil kerana penglibatan anggota dan pegawai di situ dalam kegiatan pemerasan.
“Sekiranya ada laporan dibuat kepada Ketua Polis Daerah atau kepada mana-mana ketua jabatan yang tidak diambil tindakan, maklumkan kepada saya. Saya sendiri akan ambil tindakan kepada mereka.
“Saya menyeru kepada masyarakat untuk terus salur maklumat kepada saya (salah laku anggota dan pegawai), saya akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai tangkapan seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang pengurus kilang di Batu Pahat, Johor 8 April lalu, beliau berkata:
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah meminta wang sejumlah RM1,500 untuk tindakan undang-undang tidak diambil terhadap pekerja warganegara Bangladesh di premis terbabit.”
Difahamkan mangsa telah menyerahkan wang tersebut kepada suspek sebelum suspek beredar dari tempat kejadian dan tiada tindakan diambil.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPK Johor yang membawa kepada penangkapan suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun.
Kesemua suspek direman sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Menurut Ayob lagi, anggota dan pegawai terlibat daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat. – MalaysiaGazette