KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disarankan supaya bertindak segera mencari kaedah terbaik menangani masalah banjir kilat.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, fenomena cuaca buruk itu kini menghantui masyarakat khususnya ribuan penduduk di Jalan Kuching yang terjejas setiap kali banjir kilat dan kejadian disusuli insiden pokok tumbang lebih kerap.
Dalam kejadian terbaharu pada Rabu lalu,, pokok besar yang tercabut dengan akar dan tumbang akibat angin kencang dan banjir kilat di ibu negara telah menambah ketakutan dalam kalangan penduduk di Taman City Timur.
“Kita ada saliran utama di sebelah Jalan Kuching dan setiap kali hjan lebat kerap berlaku insiden pokok tumbang dan banjir sehingga menyebabkan kesesakan jalan yang teruk dan membantutkan proses ulang-alik penduduk.
“Ada insiden pokok besar tercabut dengan akar akibat angin kencang dan hujan lebat di taman permainan dan jatuh atas bumbung restoran dan tokong di sini dua hari lalu dan penduduk sudah takut keselamatan anak anak mereka.
“DBKL perlu mencari kaedah penyelesaian yang lebih efektif untuk menangani masalah ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Hannah, sebenarnya DBKL sudah menambahbaik sistem saliran di Jalan Kuching namun masalah banjir kilat masih tidak mampu di selesai sebaliknya berterusan.
Justeru beliau meminta DBKL memantau sekali lagi di kawasan itu dan menyiasat untuk mencari langkah penyelesaiannya.
Dalam perkara sama wakil rakyat DAP itu menasihati penduduk khususnya di Segambut supaya tidak meletakkan kenderaan di bawah pokok besar semasa ribut petir dan hujan lebat mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya memang risau dengan insiden pokok tumbang yang mana sedih membaca berita pemandu e-hailing maut akibat pokok besar tumbang di atas beliau.
“DBKL diharap mengambil serius dan membantu menambah bajet supaya proses mencantas pokok pokok besar dan berisiko tumbang itu demi keselamatan masyarakat setempat,” tegasnya.- MalaysiaGazette