Gambar hiasan

SEREMBAN – Empat anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) direman enam hari hingga Rabu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada penjaja.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban Mas Azmimin Ahmad untuk siasatan ke atas kesemua individu berumur antara 36 hingga 53 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, jumlah wang suapan tersebut masih dalam siasatan.

Kesemuanya tiba di mahkamah pada 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, keempat-empat mereka yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa ditahan dalam Op Jambu ketika hadir di pejabat SPRM Negeri Sembilan, kira-kira 2 petang.

Mereka didakwa meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja-penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja-penjaja yang tidak berlesen.

— BERNAMA