KUALA LUMPUR – Insiden dua lelaki dipukul dan diugut hanya kerana berpuasa membuktikan kerajaan hari ini seakan-akan gagal menjaga keselamatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) Masridzi Sat menegaskan, penghinaan kepada agama Islam bukan satu perkara baharu malah sudah berkali-kali berlaku dan boleh menghakis kesabaran umat Islam.
“Perkara ini bukan baharu, jangan sampai kita menganggap kerajaan yang ada gagal menjaga keselamatan, agama, bangsa, tanah air dan maruah umat Islam.
“Bagi kita kalau perkara ini tidak dibela dan diberikan tindakan yang tegas dan sekeras-kerasnya bagi kita kerajaan gagal,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Villa Puteri Condominium hari ini.
Pada Rabu lalu, Polis Klang Selatan menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang telah dipukul secara bergilir di bahagian belakang kerana berpuasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang Rabu di Balai Polis Klang, berkaitan insiden itu.
Kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.
Masridzi yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melahirkan rasa kesal apabila penghinaan terhadap Islam berulang dan kali ini boleh mencetuskan insiden tidak diingini.
“Kita minta sekali lagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, isu arwah Adib belum selesai. Saya sudah bertengkar tentang isu arwah Adib dengan Menteri Dalam Negeri, jadi sekarang isu yang mencabar kita sekali lagi.
“Tolong umat Islam terlalu limit sangat tahap kesabaran itu, jadi kita tak boleh kawal, nanti ada tindakan undang-undang sendiri, ini yang paling kita bimbang,” katanya.
Katanya lagi, jika kerajaan sebelum ini boleh mengambil tindakan tegas dengan menangkap pejuang militan Islam sejak zaman 1970-an, kenapa tidak sekarang terhadap penghina Islam.
“Dulu boleh bertindak tegas menangkap cekap di mana saja, sumbat dalam ISA, nak bagi 10 tahun, 20 tahun boleh. Gunakan AMLA, gunakan SOSMA, gunakan POCA, banyak undang-undang yang kita ada, gunakan maksimum.
“Jangan nanti sekejap saja, lepas itu keluar, benda itu berulang-ulang,” tegasnya.
Tambahnya, kemarahan umat Islam dikhuatir tidak dapat dibendung lagi kerana penghinaan agama dan Allah sendiri telah merobek hati sedangkan Islam agama Persekutuan di negara ini.
“Tetapi penghinaan merobek hati, menghina Allah, menghina umat Islam, menghina puasa itu, menghina agama nak undang-undang macam mana.
“Kita sangat marah dan terluka. Ini soal yang paling berat ialah soal agama kita yang dirobek, amal ibadat kita yang dihina, tuhan kita yang dicabar, bertubi-tubi.
“Kita nak kawal macam mana, dah laa stress dengan perintah kawalan pergerakan lagi, darurat lagi, Covid-19 lagi, ekonomi teruk, pengangguran lagi, bertubi-tubi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Parti lebai haprak diam seribu bhasa.. Badigol btol