Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Tindakan majikan yang memukul, menampar, merotan dan mengugut dua pengawal peribadi menggunakan pistol dianggap sebagai sikap anti agama atau Islamofobia.

Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) , Mohd Zai Mustafa berkata, ia bukan sahaja menunjukkan sifat tidak berperikemanusiaan, bahkan secara jelas melanggar undang-undang buruh.

“UMMAH memandang serius tindakan majikan yang memukul pengawal peribadi dengan rotan dan mengancam dengan mengacukan pistol kerana tidak suka dengan pengawal tersebut berpuasa.

“Tindakan yang diambil secara sewenang memukul dan mengancam dengam pistol adalah perbuatan jenayah dan terkait dengan membenci amalan dan hak asasi manusia bagi kebebasan beragama di negara ini.

“Tindakan majikan tersebut memperlihatkan sikap anti agama, di luar batas perikemanusiaan dan melanggar undang undang perkerja dan majikan di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zai berkata, perbuatan seperti itu sememangnya sangat bertentangan dengan amalan semua agama yang ada di negara ini.

Menurutnya lagi, semua agama dituntut menghormati amalan agama masing-masing sebagaimana yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan nasional.

“Tiada paksaan kepada mana-mana pihak untuk menghalang amalan agama seseorang individu terutamanya Islam sebagai agama persekutuan.

“Tindakan tegas dan pantas yang diambil oleh pihak polis sangat wajar diberi pujian dan sokongan bagi menyelasaikan isu ini dan menjaga ketenteraman awam di negara ini.

“Tidak ada suatu undang-undang di negara ini yang membenarkan seseorang atau majikan boleh mengambil tindakan sendiri untuk mendera, mengancam dan melakukan jenayah sesuka hati, melainkan ianya akan dikenakan tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang- undang yang ada dalam negara ini,” ujarnya.

Justeru, beliau mendesak tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dengan melakukan apa-apa perbuatan jenayah yang mengganggu gugat kehidupan masyarakat sejagat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast