Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. foto AFIQ RAZALI, 25 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Usaha penolakan terhadap Lim Guan Eng sekali lagi kedengaran dalam DAP menjelang pemilihan parti yang akan mengambil tempat kira-kira dua bulan lagi.

China Press melaporkan, kempen tolak Lim 2.0 itu bertujuan mencegah Guan Eng menjadi Pengerusi DAP dan terus menguasai parti itu selepas penggalnya sebagai setiausaha agung tamat nanti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tan Pok Shyong secara terbuka membicarakan penolakan Guan Eng dan pemimpin veteran, Lim Kit Siang.

Katanya, DAP sudah berwajah seperti “parti Lim” dan keadaan itu perlu diperbetulkan.

“Saya mahu membuktikan kepada akar umbi parti bahawa saya berani untuk bercakap dan sudah tiada jalan patah balik buat saya,” katanya.

Menurut Pok Shyong lagi, terdapat pemimpin lain yang mahu menolak Lim tetapi tidak berani menyatakan pendirian secara terbuka.

Katanya, walaupun Guan Eng tidak boleh terus menjawat setiausaha agung kerana penggalnya dihadkan oleh perlembagaan parti, tetapi bekas Menteri Kewangan itu masih boleh berkuasa melalui jawatan pengerusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang mengesahkan akan bertanding dalam pemilihan parti, tetapi beliau juga menjangka mungkin ditewaskan.

Kit Siang turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menerima jawatan tinggi dalam parti.

Walau bagaimanapun, veteran DAP, Liew Ah Kim memberitahu Sinchew Daily bahawa “kenyataan tewas” Kit Siang sebagai satu strategi pemilihan.

“Beliau adalah taiko saya, jadi tak mungkin saya tidak tahu apa yang berlaku. Kit Siang seorang yang mempunyai banyak cara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dh x relevan dua org ni, ini bkn parti anak beranak lg pun x lama lg anak dia nk check in…baik buang jer jauh2

Comments are closed.