Dr. Raha Abdul Rahim (dua dari kiri) bersama Nurshuhada Zainal sewaktu sesi pemeteraian Memorandum Perjanjian yang diadakan di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, baru-baru ini.

PerKUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Universal Horizon Sdn Bhd (UHSB) untuk menyediakan dua kertas kajian berteraskan DDK Blokchain.

Memorandum Perjanjian (MoA) itu diadakan di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata,  kertas kajian pertama berkenaan penerimaan teknologi Blockchain dalam kalangan masyarakat manakala kajian kedua pula mengkaji pelaksanaan ekosistem DDK Blockchain daripada perspektif syariah.

Menurutnya, kerjasama strategik antara UTeM dan UHSB menjadi platform teguh mewujudkan sinergi yang memberi impak yang lebih dinamik kepada rakan-rakan industri.

Kerjasama ini menzahirkan kepakaran yang dimiliki UTeM menerusi kumpulan penyelidiknya khususnya yang pakar dalam bidang Financial Technology (FinTech) bagi menyediakan solusi terbaik kepada permasalahan yang dihadapi oleh pihak UHSB, sekali gus menyuntik perkembangan dan kemajuan teknologi industri yang lebih mampan.

”MoA ini dapat merancakkan lagi aktiviti kesarjanaan khususnya dalam menambahbaik dan memperkasakan kemahiran serta pengetahuan para penyelidik, menambahbaik kualiti penghasilan produk penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan penerbitan jurnal dan sebagainya.

“Selain itu kerjasama ini turut menggalakkan percambahan dari segi penerbitan, percetakan, penyelidikan, gunasama tenaga pensyarah dan pakar serta pertukaran pengetahuan mengenai teknologi Blockchain yang dapat memberikan impak yang positif kepada kedua-dua pihak,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, pihak UHSB turut telah menyediakan geran penyelidikan bernilai RM10,000 kepada UTeM bagi membantu para penyelidik yang terlibat untuk menyempurnakan dua kertas kajian yang telah dipersetujui.

UHSB adalah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur dan satu-satunya syarikat yang telah membangunkan blockchain platformnya tersendiri yang mempunyai lebih dari 200,000 pengguna dari 10 buah negara di Asia.

Majlis menandatangani MoA tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor UTeM, Dr Raha Abdul Rahim bersama Prof Dr Ghazali Omar manakala pihak UHSB dihadiri oleh Ketua Pegawai EksekutifnyaNurshuhada Zainal serta Pengasas Bersama, Dato’ Azrainuddin Zainal serta barisan pengurusan tertinggi UTeM. – MalaysiaGazette