KUALA LUMPUR – Banjir kilat dan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di ibu kota sejak kebelakangan ini sudah tentu mencetuskan kebimbangan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, majoriti warga kota semakin rasa tidak selamat hendak pula dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, apa yang boleh disimpulkan oleh Lukman Mohd Fauzan, 23,  faktor kepada kejadian berulang itu ada kaitan dengan pengurusan sistem perparitan yang lemah.

Lukman Mohd Fauzan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

Katanya, pembangunan yang tidak terurus menyebabkan air hujan yang berlebihan tidak dapat dialirkan secara normal.

Akibatnya tanah menjadi terhakis dan akar-akar pokok yang lama di ibu kota tidak mampu mencengkam lagi.

“Kalau ikutkan memang membahayakan, menyebabkan kereta rosak teruk akibat banjir kilat. Jadi parit-parit yang ada kena besarkan rasanya pembangunan sudah tidak perlu lagi sebab sudah maksimum cuma sistem perparitan kena lebih baik. Banyak sangat konkrit air susah nak keluar.

“Pokok tumbang bukan salah pokok pun. Pokok tumbang sebab air tidak tahu nak mengalir ke mana tanah jadi lebih lembut sebab selalu hujan itu yang menyebabkan pokok tumbang.

“Jadi bagi saya sistem perparitan yang perlu diperbaiki. Kalau pokok tidak dipotong tidak logik,” katanya.

Begitu juga pendapat yang disuarakan oleh S. Kumar, 43, seorang penduduk di Bangi yang setiap hari meredah perjalanan untuk bekerja di Bukit Bintang.

S. Kumar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

Jelasnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil inisiatif drastik untuk membersihkan parit-parit atau sungai dalam kawasan ibu kota, agar air dapat mengalir  setiap kali hujan tanpa mengundang banjir kilat.

Kewujudan pokok-pokok tambahnya,tidak membahayakan sekiranya ia sentiasa diselenggara dengan pemotongan dahan berkala dilakukan.

“DBKL mungkin boleh bantu bersihkan sistem perparitan itu lebih penting kalau sumbat sana sini ia akan menjadi punca banjir kilat.

“Pokok penting juga, saya lebih suka kalau ada pokok di bandaraya tapi mungkin kena cantas jangan sampai lebat sangat, dahan terlalu besar, berat sampai ke jalan,” katanya.

Mempunyai enam orang ahli keluarga yang setiap hari bekerja dengan menunggang motosikal, Noordiana Syahira Abdullah, 18, mengakui semakin bimbang melihat kejadian bencana alam sejak kebelakangan ini.

Noordiana Syahira Abdullah. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

Justeru katanya, pihak berkuasa perlu segera melakukan perkara yang sepatutnya untuk menjaga alam sekitar dalam kawasan ibu kota.

“Bimbang sebab keluarga saya ramai bawa motor pergi kejar, dalam enam orang, ayah saya pergi kerja tunggang motosikal juga.

“Mungkin boleh cantas pokok-pokok di KL ni kalau tinggi sangat, bahaya. Kalau tidak ada pokok pun bahaya juga,” katanya yang menetap di Ampang.

Semalam seorang penghantar makanan, Syed Izzat Izzudin, 20, maut selepas dahan pokok jatuh menimpanya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang di Stesen Petronas Alam Damai, Taman Len Sen, Cheras.

Dilaporkan, sebanyak 130 aduan membabitkan pokok tumbang diterima oleh DBKL  ketika hujan lebat melanda ibu negara pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Paling banyak laporan diterima di Cheras iaitu 49 laporan manakala Titiwangsa dan Batu masing-masing (15), Bukit Bintang (11) dan Bandar Tun Razak (10).

Kebanyakan insiden pokok tumbang membabitkan pokok yang sudah berusia dan baru ditanam yang rosak disebabkan angin kencang.

Hari ini Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut mendesak DBKL bertindak segera mencari kaedah terbaik menangani masalah banjir kilat.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. KL kena tiru cara pulau Bashan Char menangani banjir supaya Rohingya mahu mendiami di pulau berkenaan, jika tidak Rohingya enggan mendiami di KL lagi yang sering banjir jer.

Comments are closed.