Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Muazzam Mohamed bercakap pada sidang media selepas menyertai gotong royong membuat bubur lambuk dan sumbangan berupa pekbarangan keperluan dapur dan wang tunai berjumlah RM300 kepada Asnaf di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BIMB Holdings Bhd (BHB), Mohd Muazzam Mohamed akan mengadakan sidang media berkenaan hala tuju bank itu pada Selasa ini.

Katanya, sidang media berkenaan juga akan menjelaskan  perkembangan terkini status penstrukturan semula BHB.

“Hari Selasa kita akan bercakap panjang lebar pasal semua perkara, restructuring (penstrukturan semula), hala tuju dalam lima tahun dan semuanya.

“Kita akan jelaskan apa penstrukturan itu untuk masa depan bank. Kita akan perincikan pada masa tu,” katanya selepas program AMAL Ihtimam Ramadan 2021 di Masjid Jamek, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Muazzam dalam pada itu mengesahkan bahawa penstrukturan semula BIBM yang dijangka selesai pada Ogos tahun ini masih berjalan.

Untuk rekod, BHB sebelum ini menjelaskan bahawa cadangan penstrukturan berkenaan akan membabitkan lima komponen yang terdiri daripada cadangan penempatan saham BHB baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta.

Hasil daripada usaha itu bersama-sama tunai dalaman akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki sukuk yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

BHB juga dilaporkan akan melaksanakan penyusunan semula dalaman, melupuskan kesemua pegangan ekuiti dalam subsidiari dagangan saham dan pemajakannya kepada Bank Islam, untuk diselesaikan dalam bentuk tunai.

Pertimbangan bagi pelupusan anak-anak syarikat ini adalah berdasarkan nilai aset bersih terbaru yang sudah diaudit.-MalaysiaGazette