Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (barisan hadapan, kiri) menyiram satu daripada pokok yang ditanam pada program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, pada 10 April lalu.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmennya terhadap alam sekitar dengan menyumbang RM50,000 bagi insiaitif penanaman 130 pokok hutan di Tasik Raban di Lenggong, Perak.

Kolaborasi bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini adalah sebahagian usaha menyokong inisiatif kerajaan dalam memulihara alam sekitar.

TNB dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 21 spesies pokok tempatan yang sinonim dengan nama tempat di Perak di tanam bagi menjayakan agenda Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

“Ia adalah sebahagian keprihatinan TNB dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian alam buat generasi masa hadapan.

“Pada masa sama, ia juga adalah usaha bagi menjamin ekosistem demi manfaat kehidupan orang ramai,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada program Penghijauan Malaysia bersempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, menyifatkan penyertaan TNB dalam kempen itu sebagai manifestasi keprihatinan syarikat berkenaan terhadap alam sekitar.

Shamsul Anuar berkata, pembabitan dan sumbangan TNB sebagai sebahagian tanggungjawab korporatnya dalam menyahut seruan kerajaan bagi menjayakan kempen itu harus dicontohi syarikat lain.

“Kempen 100 Juta Pokok ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan pokok dan hutan bagi kesejahteraan dan kualiti hidup selain menambahbaik ekosistem dan kepelbagaian biologi negara kita.” katanya.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang; Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

Selain di daerah Lenggong, TNB juga terbabit secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar menerusi penanaman 18,800 pokok bakau di dearah Manjung sejak 2013.

Jumlah ini adalah sebahagian daripada 23,700 anak benih bakau ditanam TNB di negeri lain di Semenanjung termasuk Perak, Perlis dan Pulau Pinang serta empat lokasi habitat kelip-kelip termasuk di Kampung Kuantan di Kuala Selangor; Kampung Dew (Taiping, Perak)dan Kampung Sungai Timun di Rembau.

Kini, TNB sedang giat menjalankan inisiatif yang sama dengan tambahan 7,000 anak benih di daerah Manjung dan 1,000 di Jimah Power Plant yang bakal siap ditanam menjelang 2022. – MalaysiaGazette