Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti hari ini, melibatkan tiga kluster tempat kerja serta masing-masing satu kluster komuniti dan kluster sekolah serta institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dua kluster baharu itu dikenal pasti di Selangor, satu di Johor dan dua di Sarawak.
“Antara lima kluster baharu ialah Selat Klang dan Tapak Bina Cahaya Alam Selangor; Jalan Perindustrian Satu, Johor serta Tarat Tani dan Jalan Bintulu di Sibu, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kluster Selat Klang melibatkan daerah Klang dan Petaling di
Selangor di mana kes indeks ke-364349 dilaporkan positif Covid-19 pada 14 April 2021 hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah syarikat yang terletak di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Sehingga 18 April 2021, sejumlah 101 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.
Satu lagi kluster baharu di Selangor iaitu Kluster Tapak Bina Cahaya Alam melibatkan daerah Petaling di Selangor di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 April 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah tapak bina di Cahaya Alam, Shah Alam.
“Sehingga 18 April 2021, sejumlah 203 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.
Selain itu, Kluster Jalan Perindustrian Satu pula melibatkan daerah Muar di Johor di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 April 2021.
“Ia hasil saringan bersasar pekerja-pekerja beberapa kilang yang tinggal di Jalan Perindustrian 1, Batu 8, Kawasan Perindustrian Bukit Bakri, Muar.
“Sehingga 18 April 2021, sejumlah 980 individu telah disaring, di mana 254 kes
dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.
Selain itu, Kluster Tarat Tani pula satu-satu kluster komuniti melibatkan daerah Serian di Sarawak di mana kes indeks ke-360369 dilaporkan positif Covid-19 pada 11 April 2021 hasil saringan individu bergejala.
“Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Tarat, Serian.
“Sehingga 18 April 2021, sejumlah 320 individu telah disaring, di mana 21 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Satu lagi kluster iaitu Jalan Bintulu Sibu iaitu melibatkan daerah Tatau dan Bintulu di Sarawak di mana kes indeks ke-356866 dilaporkan positif Covid-19 pada 9 April 2021 hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar dan kakitangan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Bintulu Sibu, Tatau.
“Sehingga 18 April 2021, sejumlah 546 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette