Ahmad Rafaei Datuk A. Rashid

GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang melahirkan rasa kebimbangan pihaknya dengan pelbagai insiden menghina Islam yang dilaporkan dalam negara.

Ketua Penerangan Pas negeri, Ahmad Rafaei Datuk A. Rashid berkata, terbaharu, insiden iklan raya mempromosi judi online menunjukkan sikap tidak sensitif segelintir pihak yang dilihat menggugat ketenteraman masyarakat berbilang agama.

“Kita menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap penjenayah video iklan raya judi haram itu.

“Tindakan tegas itu perlu diambil untuk menjadi pengajaran kepada individu lain agar tidak mengulangi perkara sama khususnya menggugatkan sensitiviti agama lain.

“Kami juga meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pihak PDRM dan SKMM dalam menyekat dan membanteras sebarang bentuk aktiviti judi haram yang dilihat kian berani mempromosikannya melalui media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pas  Pulau Pinang menyeru semua pihak khususnya umat Islam di negara ini agar sentiasa mengutamakan syariat Islam dalam kehidupan serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram yang mengundang pelbagai masalah sosial. – MalaysiaGazette