Gambar hiasan

KUANTAN- Seorang pengurus syarikat bersama tiga rakan kongsi kerugian sebanyak RM512,000 selepas ditipu dalam urusan permit mengeksport bauksit tidak wujud dalam kejadian empat tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, salah seorang daripada rakan kongsinya yang dikenali sebagai Mister Ting telah berurusan dengan penjual permit eksport bauksit di sekitar Kuantan yang dikenali sebagai Nazirul Shafiq.

Berikutan itu, katanya, mangsa dan rakan-rakan kongsinya menubuhkan sebuah syarikat pada 2017 dan sepakat untuk berurusan dengan Nazirul Shafiq bagi tujuan urusan permit eksport bahan mineral tersebut.

Mangsa turut berminat untuk membeli permit eksport pada harga RM450,000 selain bersetuju membeli 50,000 tan bauksit pada harga RM9 setan.

“Pada 10 Januari 2017, Mister Ting telah mengeluarkan cek syarikat dan memberi kepada suspek di Jalan Tun Ismail, Kuantan sebagai persetujuan membeli bahan mineral itu,” ujar Wazir.

Bagaimanapun, katanya, pada Mac 2017 sehingga kini Mister Ting gagal dihubungi dan dipercayai mempunyai masalah peribadi dan telah menghilangkan diri.

Berikutan itu, tambah beliau, mangsa yang berusia 52 tahun itu mengambilalih tanggungjawab untuk berurusan jual beli dengan suspek dan meminta bayaran yuran guaman sebanyak RM10,000 bagi tujuan pengeluaran permit bauksit.

“Kemudian pada 10 April 2017, mangsa telah menyerahkan wang tunai RM10,000 sebuah restoran di Indera Mahkota pada jam 2 petang dan empat hari kemudian, suspek meminta bayaran RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport pula.

“Pada 18 Mei 2017, suspek meminta mangsa membayar RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport dan wang itu diserahkan secara tunai pada hari sama.

“Sebulan selepas itu, suspek meminta mangsa membayar RM20,000 lagi atas alasan bayaran royalti bauksit dan mangsa juga menyerahkan wang secara tunai,” katanya.

Menurut Mohd Wazir, berikutan Mister Ting telah menghilangkan diri, suspek kemudian meminta mangsa menubuhkan syarikat baharu.

Katanya, mangsa akur namun selepas menubuhkan syarikat baharu, suspek meminta mangsa membayar RM6,000 dengan alasan memperbaharui permit eksport.

“Mangsa menyerahkan wang secara tunai dan mengeluarkan resit atas nama suspek namun selepas semua pembayaran dibuat, mangsa tidak mendapat sebarang permit eksport bauksit daripada suspek sehingga kini,” katanya.

Kata Mohd Wazir, mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette