Suspek utama mendalangi dua video raya mempromosikan judi online direman empat hari pagi tadi di IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan polis. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Suspek utama yang mendalangi penghasilan video raya mempromosikan judi dalam talian direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek utama itu dikenali sebagai Ah Hoe, 35, diburu selama empat hari.

Empat lagi suspek pula direman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan kes, ujarnya.

“Pagi tadi kesemua lima suspek termasuk suspek utama telah dimohon reman daripada majistret yang datang ke lokap IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi.

“Ah Hoe diluluskan reman empat hari sehingga 22 April ini (Khamis).

“Manakala empat lagi suspek termasuk wanita iaitu yang terdiri daripada penyanyi dan komposer pula direman dua hari sehingga Selasa esok,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, suspek utama dipercayai mendapat arahan daripada sindiket perjudian atas talian untuk menerbitkan video tersebut.

Secara keseluruhanya 18 orang suspek telah ditahan reman dalam kes berkenaan sejak Selasa minggu lalu. – MalaysiaGazette