Sebahagian daripada pelakon terlibat dalam video mempromosi judi online menggunakan iklan raya yang tular semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lagi individu dalam siasatan dua kes video raya yang mempromosikan judi atas talian.

Pihak berkuasa keselamtan itu juga berjaya menahan suspek utama, Loh Kee Hoe, 35, pembikinan kedua-dua video tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara jam 10 malam tadi hingga 6 pagi ini.

“Siasatan kedua-dua kes video viral raya yang mempromosikan judi atas talian telah membawa penahanan lima orang lagi suspek.

“Tangkapan itu termasuk suspek utama yang diburu yang dipercayai mendapat arahan dari sindiket perjudian atas talian untuk menerbitkan video tersebut.

“Ini menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini adalah seramai 18 orang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut Mohamad Zainal, lima orang yang baahru ditahan itu akan direman pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menunjukkan gambar dan maklumat orang yang dikehendaki Loh Kee Hoe berumur 35 tahun dipercayai terlibat dalam seberan video lagu raya yang mempromosikan judi atas talian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

“Mereka terdiri daripada pengarah filem, penyanyi dan komposer. Mereka akan direman di lokap Dang Wangi pagi ini untuk membantu siasatan polis.

“Siasatan masih diteruskan bagi menjejaki sindiket judi atas talian tersebut,” ujarnyanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955. – MalaysiaGazette