KUALA LUMPUR – Walaupun Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) itu mungkin kecil berbanding parti-parti besar namun ia sebuah parti yang telah lebih 30 tahun berjuang untuk rakyat.

Malah IPF tidak akan sesekali membubarkan parti  kerana kehendak segelintir pihak yang bercakap tanpa menyemak fakta terlebih dahulu.

Itu luahan Penolong Setiausaha Agung, N. Mahendran yang merasakan dakwaan kononnya parti itu sedang berdepan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu tidak benar sama sekali.

Sebaliknya dakwa Mahendran, apa yang berlaku kerana ada segelintir bekas ahli IPF yang cuba menyalahgunakan nama IPF untuk agenda peribadi.

“Sekiranya terbukti ada segelintir bekas parti ini yang sudah menubuhkan IPF Bersatu dan masih lagi belum berjaya mendaftar dengan RoS menyebar fakta tidak benar serta fitnah, kami tidak teragak-agak ambil tindakan mahkamah.

“Semalam Ketua Penerangan MIC, Datuk V. Gunalan juga ada keluarkan kenyataan tentang pendaftaran IPF, saya rasa beliau perlu dapatkan bukti serta fakta sebelum keluarkan kenyataan seumpama itu, tolonglah.

“Beliau juga harus faham satu lagi perkara, IPF telah menyokong MIC sejak 1993 di beberapa PRU dan PRK sehingga kini tetapi pada masa sama MIC yang tidak kenang jasa dan sokongan IPF.

“Kerana itu juga IPF telah mengambil ketetapan untuk menyokong Barisan Nasional (BN), UMNO dan MCA sementara tidak ada apa-apa kerjasama dengan MIC sehinggalah pembubaran Parlimen kelak,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Media melaporkan Gunalan berkata, MIC tidak mempunyai masalah seandainya IPF tidak mahu bekerjasama dengan partinya dan tindakan itu tidak akan menjejaskan perjuangan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Gunalan turut memberitahu keputusan tidak bekerjasama itu sebenarnya keputusan pimpinan tertinggi parti itu bukannya akar umbi yang masih lagi mempunyai hubungan rapat dengan MIC.

Kata Mahendran lagi, IPF tidak pernah meminta kerusi MIC sebaliknya hanya memohon kepada mereka untuk menyokong parti serpihan itu menjadi komponen BN selama ini.

“IPF bukan minta kerusi MIC tetapi hanya mahu MIC menyokong kemasukan IPF sebagai komponan BN. MIC masih boleh kekalkan status mereka sebagai big brother kaum India dalam BN biar pun IPF bersama BN.

“Sebenarnya sokongan dan kekuatan MIC bertambah jika IPF bersama MIC namun permohonan itu tidak pernah kunjung tiba.

“Ingin saya katakan sekali lagi, IPF tidak akan bubarkan parti sebaliknya akan terus sokong UMNO, MCA dan BN,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

IPF sedia kerjasama dengan UMNO, MCA tetapi bukan MIC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast