Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

KLUANG – Selepas pemilihan DAP Perak berakhir dengan kem pencabar ditundukkan kem bertahan pimpinan Nga Kor Ming, kini fokus beralih kepada DAP Johor dan DAP Selangor.

Keadaan di Johor rumit dengan kewujudan tiga kem iaitu kem bertahan pimpinan Liew Chin Tong, “kem veteran” yang diketuai bekas pengerusi, Dr. Boo Cheng Hau dan kem pencabar yang diterajui Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin.

Menariknya, Cheng Hau dan Hong Pin mempunyai hubungan “sifu dan murid’, mereka juga pernah dikhabarkan akan bergabung untuk mencabar Chin Tong.

Chin Tong sebelum ini dilihat sebagai bidan terjun yang turun ke selatan dari Pulau Pinang.

Kemampuan beliau mempertahankan kedudukan dalam DAP mencuri tumpuan, terutamanya semasa parti itu dibelenggu pelbagai isu termasuk “soal kecinaan DAP” menjelang pemilihan parti.

Sinchew Daily melaporkan, pencabar kini mahu menyingkirkan Chin Tong dalam pusingan pertama pemilihan, iatu menghalangnya menjadi salah seorang daripada 15 anggota jawatankuasa negeri yang dipilih.

DAP melaksanakan pemilihan dua pusingan yang menyaksikan 15 pemimpin dipilih dalam pusingan pertama dan jawatan mereka akan ditentukan dalam pemilihan pusingan kedua.

Penyokong Chin Tong dilaporkan berusaha memperkukuhkan sokongan di utara Johor, tempat yang pencabarnya dikatakan lebih berpengaruh.

Menurut Sinchew Daily, sebagai pemimpin yang dilihat rapat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kegagalan Chin Tong di Johor akan memberi impak kepada pemilihan DAP Selangor, malahan pemilihan kebangsaan.

Pemilihan DAP Selangor dijangka tidak kurang hangatnya dengan pertikaman lidah berlaku antara Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast