Pengawal Keselamatan, Asis Shamsudin, 41, membuat notis penutupan sekolah berikutan kemunculan kluster pandemik Covid-19 dan sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup bermula semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Damansara 2, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 APRIL 2021.

PENINGKATAN kes jangkitan Covid-19 yang semakin mendadak dan melebihi tiga angka di negeri Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak sangat membimbangkan. Peningkatan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan pelajar sekolah yang dikesan positif jangkitan Covid-19.

Sebagai contoh, sebanyak 56% individu yang dikesan positif Covid-19 di negeri Kelantan adalah pelajar sekolah menengah. Sebanyak 19 buah sekolah di Selangor pula diarahkan tutup bagi tujuan pembasmian kuman dan menyaring kontak rapat. Pihak sekolah ini diminta untuk memastikan semua kontak rapat (guru, kakitangan dan pelajar) kepada kes positif agar dikuarantin dan perlu menjalani ujian swab.

Selain itu, semua sekolah dan tadika yang berada di tujuh daerah Perintah
Kawalan Perggerakan (PKP) di Kelantan diarah tutup sehingga 24 April 2021. Kementerian Kesihatan Malaysia juga mendedahkan bahawa enam daripada empat belas klusther baharu adalah kluster pendidikan.

Pembukaan sekolah rendah pada 1 Mac (Tahun 1 dan 2) dan 8 Mac 2021( Tahun 3,4,5 dan 6) dan 4 Mac bagi sekolah menengah yang mulanya mengembirakan ibubapa kini mula bertukar menjadi kerisauan. Kegusaran ibubapa terhadap pendidikan dalam talian yang kurang efektif dan memakan belanja yang besar (pembelian gajet dan langganan internet) dirasakan perlu dikembalikan semula.

Ini bertujuan agar keselamatan dan kesihatan anak-anak terjamin. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mula mengeluarkan arahan agar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diadakan kembali bagi sekolah yang ditutup. Bagi mengekang pandemik Covid-19, Majlis Keselamatan Negara memang telah mengeluarkan Standard Operating Prosedur (SOP) bagi Sektor Pendidikan. Bagi pelajar asrama, jelas dinyatakan bahawa aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam tidak dibenarkan sama sekali.

Ibu bapa atau penjaga juga tidak dibenarkan untuk melawat anak di asrama. Pihak luar yang tidak berkaitan juga tidak dibenarkan masuk ke sekolah. Tujuan ditetapkan arahan-arahan ini adalah untuk menghadkan dan memutuskan rantaian jangkitan daripada individu yang positif Covid-19 tetapi tidak bersimptom daripada menjangkiti pelajar-pelajar ini. Seterusnya, sudah tentu akan berlaku penyebaran terhadap pelajar-pelajar yang lain.

Ibu bapa diminta supaya tidak bersikap mementingkan diri sendiri dengan tidak mematuhi arahan-arahan ini. Walaupun sayangkan anak dan rindukan anak yang berada di asrama, tabahkan lah hati dan bersabarlah dahulu. Semasa sessi persekolahan, para pelajar, guru dan kakitangan perlu mengamalkan jarak antara individu sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain dan sentiasa memakai pelitup muka.

Suhu badan juga perlu dimbas setiap hari di pintu masuk sekolah bagi memastikan tiada yang demam atau bergejala. Bagi kakitangan, guru dan tetamu yang berkungjung ke sekolah diwajibkan mendaftar aplikasi MySejahtera atau buku rekod yang disediakan. Namun, protokol ini dikecualikan terhadap para pelajar. Selain itu, kawasan sekolah perlu bersih dan selamat untuk digunakan.

Sekiranya didapati pelajar, guru atau kakitangan yang positif Covid-19, SOP yang ditetapkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) perlu dipatuhi. Manakala perhimpuan, berkumpul beramai-ramai, bersukan/ kokurikulum dalam kumpulan besar dan aktiviti luar seperti lawatan tidak dibenarkan sama sekali.

Maka, sudah terang lagi bersuluh, sekiranya SOP ini dilanggar dan terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 di sekolah-sekolah, memang sewajarnya sekolah ditutup untuk sementara. Keselamatan anak-anak perlu dijaga dan dicegah daripada dijangkiti virus pembunuh ini. Walaupun, pelajar-pelajar ini berumur 18 tahun ke bawah dan tidak memerlukan vaksin kerana sistem keimunan mereka yang tinggi, namun keselamatan para guru dan kakitangan institusi pendidikan masih perlu dipertahankan.

Oleh: Profesor Madya Dr Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Pensyarah, Univeristi Sains Islam Malaysia