Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan berkaitan kenaikan harga barang di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 21 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Isu pemecatan Yeo Bee Yin tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Kabinet PH juga tidak pernah membincangkan soal pemecatan mana-mana menteri ketika itu.

“Itu tak pernah, dalam Kabinet tak pernah dibincangkan.

“Mereka yang jadi menteri pada waktu itu bekerja bersungguh-sungguh, kita pertama kali (jadi menteri) kita buat terbaik pada waktu itu.

“Jadi soal nak pecat itu prerogatif perdana menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Semua menteri kita tak buat macam itu,” katanya pada sidang media di Pasar Chow Kit, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kononnya mesyuarat Kabinet PH sebelum ini ada membincangkan soal pemecatan Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Dalam pada itu, Salahuddin juga mengesahkan bahawa perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH ketika mentadbir Putrajaya.

“Tak pernah (Majlis Presiden PH), secara rasmi tak pernah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast