Effandy (kanan) bersama isteri dan anaknya melihat tapak rumah mereka yang hangus dalam kebakaran di Lorong Sempadan Dua, Ayer Itam di sini.

GEORGE TOWN – Zakat Pulau Pinang (ZPP) sedang mempertimbangkan skim bantuan bencana alam kepada tiga beranak yang tumpang berteduh di tingkat atas sebuah stor simpanan barang pembinaan di Lorong Sempadan Dua, Ayer Itam di sini.

Stor tersebut merupakan penempatan sementara Effandy Abdul Rahim bersama isteri dan anak perempuannya selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran pada 6 April lalu.

Jurucakap ZPP berkata, pihaknya sudah menziarahi keluarga berkenaan dua hari lalu namun masih menunggu laporan daripada penghulu di kawasan tersebut untuk tindakan lanjut.

“Kita akan salurkan bantuan kewangan menerusi skim bantuan bencana alam namun jumlahnya masih belum ditetapkan kerana sedang menunggu laporan daripada penghulu.

“Selain itu, kita juga akan meneliti sama ada Effandy layak atau tidak untuk mendapat bantuan rumah ZPP, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sekeluarga 3 beranak gadai nyawa tinggal dalam stor barang

Kelmarin, MalaysiaGazette melaporkan sekeluarga tiga beranak terpaksa meneruskan kehidupan mereka dalam stor simpanan barang pembinaan  selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran pada 6 April lalu.

Ia menjadi rumah keluarga berkenaan atas ihsan salah seorang jiran mereka namun stor di tingkat atas itu bukan sahaja tidak selesa malah mereka turut diancam binatang berbisa.

Menceritakan nasib menimpa keluarga, Effandy Abdul Rahim, 32, berkata, rumah peninggalan ibunya di Lorong Sempadan Dua, Ayer Itam di sini hangus dalam kebakaran menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank Effandy Abdul Rahim bernombor 157120275273 atau hubungi talian 011 1056 1130. – MalaysiaGazette