ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis setakat ini telah membuat sebanyak 25 tangkapan suspek dalam video raya yang mempromosikan judi dalam talian sejak 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 13 orang sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Seramai 12 orang suspek masih ditahan reman untuk membantu siasatan polis dalam kes ini.

“Untuk video pertama yang dikesan pada 15 April lalu, 13 orang ditahan dan direman manakala video kedua membabitkan enam suspek,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Tambah beliau, siasatan video ketiga pula  empat suspek ditangkap untuk membantu siasatan polis manakala video keempat pula membabitan dua orang suspek.

Menurutnya, terdapat juga suspek wanita yang ditahan dalam kalangan 25 suspek itu yang terdiri daripada pelakon, penerbit, dalang utama penyiaran keempat-empat video serta komposer.

Artikel berkaitan: Suspek utama video raya promosi judi direman empat hari

Lima pelakon video kedua raya judi online bebas dengan jaminan polis

Kedua-dua video iklan raya judi dari produksi sama

Video raya promosi judi: Lima lagi suspek, termasuk dalang utama dicekup 

“Manakala 12 suspek sahaja ketika ini masih direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes video ini.

“Manakala 13 lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman dan diambil percakapan membantu siasatan, sementara polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” tegas beliau.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette