Seorang majikan yang merupakan suspek utama dan pembantunya diiringi pegawai polis dibawa ke Mahkamah Majistret, Klang berikutan kes kejadian dua lelaki pengawal peribadi dipukul dan mengacukan pistol kerana berpuasa yang tular di media sosial baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2021.

KLANG – Seorang ahli perniagaan yang menampar, memukul dan mengacu pistol ke arah dua pengawal peribadinya yang berpuasa mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Chun Chee Yang, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, Chee Yang, pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang telah menakutkan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, melalui ugutan kecederaan parah dengan mengacukan sepucuk pistol ke arahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Chee Yang pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang telah bersubahat dengan pembantu peribadinya, Choo Hin Voon, 43, dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Samsuri Zailani, 27, dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 324 Kanun Keseksaan

Bagi pertuduhan ketiga pula, Chee Yang, pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang telah bersubahat dengan Hin Voon dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Pertuduhan ketiga ini disiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat pula, Chee Yang pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang telah mengeluarkan perkataan-perkataan dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Samsuri.

Antara perkataan itu ialah U mau ikut sayakah Allah, Siapa bayar gaji Allah kah atau saya, Allah boleh jaga sama kamu kah atau saya, U punya Allah boleh kasi wang kah dan kalau mau kerja dengan saya lu tak boleh puasa.

Chee Yang disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama bagi pertuduhan keempat ini.

Manakala pertuduhan kelima pula di mana Chee Yang pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam.

Pertuduhan kelima ini disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Asyraf Ashyari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi setiap pertuduhan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat.

Bagaimanapun Peguam Abdul Hakim Aiman dan Loi Yap Loong meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak akan melarikan diri kerana mempunyai perniagaan dan membesar di Klang, selain mempunyai tanggungan besar dengan 30 pekerja.

Selain itu, ibu bapa tinggal bersama Chee Yang kerana uzur dan mempunyai barah usus serta barah perut, selain perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah dan isteri pula seorang suri rumah sepenuh masa.

Seorang majikan yang merupakan suspek utama dan pembantunya diiringi pegawai polis dibawa ke Mahkamah Majistret, Klang berikutan kes kejadian dua lelaki pengawal peribadi dipukul dan mengacukan pistol kerana berpuasa yang tular di media sosial baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2021.

Dalam prosiding sama, pembantu peribadinya, Hin Voon mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, Hin Voon pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Hin Voon didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Manakala pertuduhan kedua pula, Hin Voon pada 13 April 2021 di antara 10.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukti Tinggi, Klang dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Ahmad Shamsuri dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi dua pertuduhan terhadap Hin Voon, pasukan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat.

Peguam Abdul Hakim dan Yap Loong meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan rawatan iaitu suntikan insulin dua kali seminggu.

Majistret P. Sarulatha bagaimanapun membenarkan tertuduh dikenakan jaminan yang rendah, masing-masing sebanyak RM50,000 dan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette