Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR Kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi terbitan bertempoh matang 10-
tahun dengan jumlah AS$800 juta.

Di samping itu, Kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30-tahun berjumlah AS$500 juta.

Kedua-dua peringkat tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, katanya, Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan peringkat  10-tahun ditetapkan pada 2.070% [T + 50 mata asas], dan peringkat 30-tahun pada 3.075% [T +
80 mata asas].

“Yang lebih penting, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.

“Terbitan sulung Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar AS merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara/kerajaan di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam yang menepati
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Terbitan ini membolehkan Kerajaan memenuhi komitmen sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, selaras dengan status sebagai penandatangan dalam Perjanjian Paris, di samping menggiatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyatnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ini turut membuktikan usaha Kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tambahnya, sukuk itu juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

Jelasnya, ia merupakan terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran ewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran
sukuk terbesar di dunia.

Sementara itu, Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, pihaknya berasa amat sukacita dan berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh.

Katanya, terbitan itu bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan SDG untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sukuk Kelestarian ini diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Berhad dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang baru diwujudkan.

“Rangka Kerja ini telah dinilai oleh Sustainalytics1, yang mengiktirafkannya sejajar dengan empat komponen teras Social Bond Principles 2020 (SBP), Green Bond Principles 2018 (GBP), dan ASEAN Sustainability Bond Standards 2018 (ASEAN SUS),” ujarnya.

Kedua-dua dokumen Rangka Kerja dan Pandangan Pihak Kedua oleh Sustainalytics boleh diakses melalui: https://www.mof.gov.my/en/economy/sustainability. – MalaysiaGazette