Keadaan padi hasil dari penggunaan Benih Padi Sah (IBPS) yang diedar oleh NAFAS di Tanjong Karang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Para petani berhak memulangkan semula benih padi yang diragui kualitinya kepada pengeluar, kata Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menurut NAFAS, syarikat pengeluar bertanggungjawab untuk menggantikan benih padi yang diragui kualiti dengan yang baharu.

NAFAS memaklumkan, perkara itu telah dipersetujui menerusi perbincangan bersama syarikat pengeluar yang telah dilantik.

Ini adalah demi memastikan benih yang dibekalkan berkualiti dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

“NAFAS sememangnya mengambil berat dan mengikuti secara rapat masalah-masalah berkaitan isu pembekalan benih padi sah. Stok bagi pembekalan benih padi adalah mencukupi berdasarkan kesemua varieti benih yang ditawarkan di pasaran.

“NAFAS telah mengambil pelbagai langkah yang wajar dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik demi kebaikan para petani,” kata Nafas menerusi kenyataan.

Berdasarkan rekod terkini, sebanyak 595,035 beg pesanan benih padi varieti MR297 telah diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 321,689 beg telah dibekalkan oleh NAFAS.

Atas kekangan stok padi yang terhad di pasaran, maka keperluan benih padi MR297 mengambil sedikit masa untuk disediakan.

NAFAS memandang serius tentang kelewatan pembekalan benih padi.

Antara alternatif yang dicadangkan kepada NAFAS adalah menggunapakai varieti benih yang lain seperti MR219 dan lain-lain jika varieti MR297 habis di pasaran.

“Adalah menjadi hasrat NAFAS untuk melihat perkara ini dapat ditangani secara berkesan dengan penglibatan semua pihak. Nafas terbuka untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan daripada semua pihak dalam mencari penyelesaian terbaik dalam semua perkara demi kelangsungan industri padi dan beras negara,” tambah NAFAS.

Untuk rekod, NAFAS telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pemborong tunggal seterusnya mengedarkan bekalan benih padi sah yang dibekalkan oleh 10 syarikat yang dilantik. – MalaysiaGazette