PUTRAJAYA – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan memulakan mula prosiding rayuan berhubung sabitan dan hukuman terhadap kesalahan menerima rasuah sebanyak RM2 juta hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berbaju batik hadir ke mahkamah pada jam 8.40 pagi dengan diiringi beberapa orang.

Beliau sempat melambai dan tersenyum kepada sekumpulan petugas media berada di mahkamah sejam 8 pagi dan berbual dengan beberapa individu sementara menanti prosiding bermula.

Mahkamah menetapkan 22, 23 dan 26 April ini untuk mendengar rayuan setelah Tengku Adnan memfailkan notis rayuan pada 21 Disember lalu sejurus selepas sabitan dan hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadapnya selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Sebelum ini, hakim membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Tengku Adnan atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan didakwa menggunakan jawatan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan untuk menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta dari seorang ahli perniagaan.

Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong, melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 dengan pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette