Datuk Seri Najib Tun Razak.

PUTRAJAYA – Serangan dalam dan luar mahkamah oleh pasukan pembelaan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak wajar dilakukan.

Mohd Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan membuat keputusan kes penyewelengan dan salah guna kuasa melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, tuduhan pasukan pembelaan bahawa Mohd Nazlan telah membuat kesilapan dalam keputusan SRC selain tidak cekap adalah tidak berasas.

Katanya, Mohd Nazlan tidak berat sebelah ketika membuat keputusan dan menjatuhkan jatuh hukum terhadap Najib.

“Sebenarnya Yang Arif, saya bukanlah hendak menyokong hakim yang telah bicarakan kes ini tetapi serangan oleh pembelaan dalam dan luar mahkamah ini tidak wajar. Menyerang keputusan hakim samalah seperti menyerang hakim itu sendiri.

“Pembelaan tidak boleh menyerang hakim kononnya beliau berat sebelah kerana beliau (Mohd Nazlan) tidak ada di sini untuk membela dirinya. Berat sebelah atau tidak, biarlah mahkamah lebih tinggi buat keputusan itu.

“Serangan seperti ini sebenarnya memberikan imej tidak baik terhadap hakim dan saya pasti semua dakwaan pembelaan ini salah,” katanya pada prosiding yang masuk hari ke-12.

Tiga panel yang bersidang mendengar kes rayuan itu diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada hari kedua prosiding rayuan SRC oti, peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggunakan beberapa perkataan bagi memberi bayangan negatif terhadap Mohd Nazlan.

Antaranya seperti hakim bicara itu tidak cekap, sengaja meracun penghakiman beliau, tidak berpengalaman selain mendakwa Mohd Nazlan sememangnya ingin menyabitkan Najib.

Hujah Muhammad Shafee itu mendapat perhatian Abdul Karim yang memberinya nasihat untuk menggunakan perkataan-perkataan lebih sopan ketika berhujah.

Abdul Karim memberitahu Muhammad Shafee bahawa beliau boleh menggunakan ungkapan seperti ‘terkhilaf dari segi undang-undang’ dan ‘tersalah arah’ untuk menunjukkan kelemahan dalam keputusan bicara itu.

“Saya rasa jika kita boleh menggunakan kata-kata yang lebih baik dengan menghormati hakim yang bijaksana, cari kata sifat yang lebih baik untuk menggambarkannya.

“Selain daripada mengatakan ‘meracuni penilaiannya’, ‘sangat tidak cekap’, boleh anda cari perkataan lain? Hormatilah hakim,” ujar Abdul Karim.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

‪Keputusan disampaikan Mohd Nazlan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohd Nazlan ketika membacakan keputusan berkata, pihaknya mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Puak penyokong totok najib menuduh hakim yg kendalikan kes najib tu dgn mcm² cerita. Rasanya kalau hakim lain pun yg kendalikan kes itu yg buat keputusan tk menyebelahi depa, tentu akan dituduh perkara sama. Maklum la najib tu suci, mana ada buat salah..
    Yg pastinya rakyat dah sedia maklum, umno tu parti yg kuat amal rasuah.

Comments are closed.