KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengesan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan oleh scammer bagi memperdaya rakyat di negara ini.
Ia melibatkan usaha memperdaya orang ramai bagi menyerahkan maklumat peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.
Antaranya pengguna secara rambang menerima pesanan ringkas (melalui SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan termasuk WhatsApp menyerupai pesanan daripada bank menyatakan telah berlakunya transaksi kewangan mencurigakan atau wujud keperluan untuk pengguna mengesahkan, mengemas kini, atau mengaktifkan semula akaun perbankan Internet.
“Pengguna seterusnya diminta untuk melayari pautan laman sesawang palsu yang diberikan yang mana mereka perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.
“Paparan di laman sesawang palsu itu akan kelihatan serupa dengan laman sesawang perbankan Internet sebenar namun alamat (URL) pada laman tersebut mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan atau diminta untuk menghubungi talian hotline palsu yang diberikan yang mana pengguna akan berhubung dengan scammer yang menyamar sebagai pegawai bank, dan/atau pihak berkuasa.
“Melalui interaksi ini, pengguna akan seterusnya diminta melayari laman sesawang palsu yang mana mereka perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan Internet atau diminta memuat turun dan memasang aplikasi palsu dalam bentuk fail “APK” yang memerlukan mereka memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan Internet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, kombinasi dan variasi helah serta modus operandi yang disebutkan turut digunakan oleh scammer untuk memperdaya dan memperoleh nombor Transaction Authorization Code (TAC) / One-Time PIN (OTP) daripada pengguna.
Sehubungan itu, MCMC ingin mengingatkan para pengguna agar sentiasa berwaspada apabila menerima pesanan ringkas (melalui
SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan, termasuk WhatsApp) yang menyerupai pesanan daripada pihak bank.
Pengguna juga diminta tidak melayari dan memberikan maklumat perbankan di manamana laman sesawang dengan alamat (URL) yang mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan berbanding laman perbankan Internet sebenar.
“Tidak sewenang-wenangnya menghubungi apa-apa nombor telefon atau hotline yang didakwa milik pihak bank, tanpa melakukan semakan dan jangan akur apabila diminta atau diarah memuat turun dan memasang apa-apa Aplikasi palsu dalam bentuk fail “.APK”, sama ada yang diterima secara terus melalui WhatsApp, atau yang diminta untuk dimuat turun daripada pautan dan laman sesawang selain daripada gedung aplikasi rasmi,” kata kenyataan yang sama.
Pengguna juga jangan sesekali menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan Internet termasuk nombor TAC / OTP kepada manamana pihak melalui SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan dan kaedah-kaedah lain.
Segera rujuk atau laporkan kepada pihak bank masing-masing jika menerima apa-apa komunikasi yang mencurigakan atau apabila menyedari diri telah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan Internet kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung perkara ini kepada pihak PDRM CCID Scam Response Centre (Talian: 03-26101559 dan 03-26101599); atau MCMC melalui pautan https://aduan.skmm.gov.my,e-mel: [email protected], WhatsApp:016 – 220 6262).- MalaysiaGazette