Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. Foto HAFIZ SOHAIMI, 15 MAC 2021.

PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penipuan dalam urusniaga pembelian kereta milik seorang doktor pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 55 tahun itu berkhidmat di sebuah klinik swasta di daerah ini.

“Semasa kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa ketika berada di rumahnya di Kampung Tunku telah mengadakan temujanji dan berjumpa suspek lelaki tempatan berusia 42 tahun untuk urusan penjualan kereta model Jaguar XF miliknya dengan harga RM90,000.

“Sebelum mangsa menyerahkan keretanya kepada suspek, mangsa telah menandatangi beberapa surat perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada jam 5.30 petang hari yang sama, suspek telah menghantar mesej WhatsApp kepada mangsa memaklumkan pembayaran kereta sebanyak RM90,000 telah dibuat dalam dua kali transaksi ke dalam akaun bank milik mangsa.

Namun selepas mangsa menyemak akaun simpanannya mendapati tiada kemasukan wang seperti mana dimaklumkan suspek.

“Bertindak atas aduan mangsa, polis pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Petaling Jaya berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek tersebut.

“Malah polis turut berjaya merampas sebuah kereta Jaguar jenis XF berwarna maroon.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 58 rekod kesalahan jenayah lampau iaitu 55 rekod lampau membabitkan penipuan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Komersil), dan masing-masing satu rekod di bawah Seksyen 380, 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek kini ditahan reman tiga hari untuk membantu siasatan polis yang dilaksanakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan juga denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette