Tujuh kenderaan terlibat kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan sebelum susur keluar ke Plaza Tol Rawang petang tadi disebabkan sebuah traler yang hilang kawalan.

GOMBAK – Sebanyak tujuh buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 445 Lebuh raya Utara Selatan menghala ke utara sebelum susur Plaza Tol Rawang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah treler telah hilang kawalan di lokasi pada jam 4.50 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semasa kejadian treler itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Rawang.

“Selepas sampai di tempat kejadian, treler itu dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terlanggar beberapa buah kenderaan yang berada di lorong yang sama.

“Akibat perlanggaran kuat itu, beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan teruk manakala pemandu dan penumpang mengalami kecederaan luka namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette