Noor Aziah Mohd Awal.

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyifatkan tindakan guru yang memeriksa pelajar memakai tuala wanita merupakan pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang walaupun perbuatan itu dianggap sebagai satu bentuk hukuman disiplin.

Ini kerana wujudnya unsur-unsur gangguan dan penderaan seksual. Selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, negara pihak adalah wajib untuk memastikan sekolah- sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, , Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, di bawah Konvensyen yang sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi; perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan, dan pengabaian; dan perlindungan dari segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual.

Beliau mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia tentang tanggung jawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar dari segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34 CRC.

Kementerian diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

Tegasnya, guru itu telah melakukan perbuatan tersebut hendaklah didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tambah beliau, garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan tindakan guru salah guna kuasa tidak berulang dan sSemua guru seringkali diingatkan akan tugas mereka sebagai pendidik, dan mereka tidak boleh memberi layanan buruk dan mengganggu pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran.

Noor Aziah berkata, Malaysia perlu mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan negara.

Oleh itu, beliau menyeru kementerian dan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan semua sekolah dan sekolah berasrama penuh seumpamanya, menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa. – MalaysiaGazette