Gambar hiasan

DALAM memberi fatwa kepada masyarakat, janganlah diberi pilihan sama ada pilih pendapat A atau B, kerana masyarakat tidak mempunyai neraca kayu ukur untuk memilih. Atas sebab itu mereka merujuk mufti atau alim dalam sesuatu permasalahan.

Jadi dalam isu baru-baru ini mengenai satu ahli kariah berbuka puasa di awal waktu kerana azan Maghribnya terawal 3 minit, maka wajarlah disebut bahawa puasa mereka terbatal dan wajib diqadha’ semula. Ini tidak bermakna mereka berdosa kerana mereka tidak cuai dan tidak pula mahu membatalkan puasa tanpa sebab.

Kita perlu jelaskan bahawa dalam syariah ada hukum wadh’ie dan hukum taklifi. Hukum taklifi adalah wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ia adalah perihal perbuatan yang diberikan dosa dan pahala atas perlakuannya terhadap Tuhannya.

Hukum wadh’ie pula berkait rapat dengan sistem perjalanan kehidupan manusia (secara zahir) di dunia agar berdiri atas sistem syariah. Pada hukum wadh’ie terdapat sebab, syarat, penghalang dan seumpamanya. Tiada padanya dosa atau pahala secara zat, kerana ia adalah hukum berbentuk ‘peraturan kehidupan’.

Ya, kita wajib secara hukum taklifi mengikut peraturan kehidupan itu kerana ia adalah suruhan Tuhan.

Jadi, perbahasan qadha’ adalah termasuk dalam hukum wadh’ie dalam ilmu syariah (Usul Fiqh).

Seperti contohnya ; apabila masuk waktu Subuh, maka mereka wajib menahan diri daripada makan dan minum. Masuknya waktu subuh adalah sebab kepada wajibnya puasa. Jadi masuknya waktu adalah merupakan hukum wadh’ie, dan wajibnya puasa itu pula adalah hukum taklifi.

Jika kita kembali kepada keadaan orang yang berbuka puasa sebelum waktunya, dia secara hukum wadh’ie terbatal puasanya kerana puasanya itu tidak lengkap rukunnya. Oleh kerana itu dia wajib pula mengqadha’nya.

Tetapi secara hukum taklifi, dia tidak pula dikira berdosa selagi mana ia tidaklah sengaja mahu mengawalkan berbuka, dan tidaklah pula cuai dalam melaksanakan ibadah puasa.

Untuk beri satu contoh yang lagi mudah, adalah ibarat isu kemalangan. Orang yang mengakibatkan kemalangan wajib menanggung kerugian orang yang dilanggar, namun dia tidak pula berdosa sekiranya dia tidak berniat sedemikian.

Menanggung kerugian adalah hukum wadh’ie. Ia wajib dilakukan kerana ia bagi menjamin hak orang yang dilanggar. Namun dari sudut hukum taklifi, apakah dia telah berdosa kerana melanggar, jawapannya tidak sekiranya dia benar-benar tidak sengaja dan tidak pula berniat mengakibatkan kemalangan.

Kita perlu menganggap apa yang berlaku adalah susunan takdir daripada Allah SWT bagi menguji hamba-Nya, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa (Majlis Ulama ISMA) 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast