Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat ‘lampu hijau’ untuk memulakan latihan skuad senior kebangsaan pada Selasa ini sekiranya tiada pertambahan kes Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya tiada halangan mengenai hasrat BAM untuk menyambung kembali latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) jika keadaan selamat dan semua individu diuji negatif.

Beliau berkata, kesemua 14 pemain yang didapati positif di ABM dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dengan empat daripada mereka dibenarkan pulang hari ini.

“Hari ini ujian calitan akan dibuat sekali lagi kepada semua (lebih 90 orang), kalau ‘clear’ kita akan mulakan latihan semula kerana yang terbaru ini, pemain pelapis sahaja terkesan. Saya nak maklumkan kebanyakan penularan dalam kalangan atlet ini datang dari luar.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sedang bekerja rapat dengan BAM dan tindakan yang diambil itu bersesuaian dengan apa dibincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan fasiliti latihan e-sukan di Casa 1, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Selepas enam pemain di ABM dijangkiti COVID-19 minggu lalu, BAM semalam mengesahkan lapan lagi pemain pelapis didapati positif virus itu dalam ujian pada Selasa lalu.

Skuad badminton negara, yang menghentikan latihan sejak minggu lalu, perlu menyambung kembali persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan serta baki kejohanan yang menyediakan mata ke temasya itu membabitkan Terbuka Malaysia bermula 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).

Reezal Merican juga berkata pihaknya akan membuat penilaian teliti mengenai kesesuaian dan keperluan kembali mewujudkan latihan secara kuarantin kepada semua atlet kebangsaan kerana ia mempunyai kelebihan serta kesan terhadap prestasi mereka.

Mengulas perisytiharan darurat di wilayah Tokyo, Osaka, Kyoto dan Hyogo yang bermula esok hingga 11 Mei ini berikutan peningkatan kes COVID-19 di Jepun, Reezal Merican berkata terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai penyertaan kontinjen negara di Olimpik.

Beliau menegaskan persediaan ke temasya sukan terbesar dunia itu akan diteruskan tanpa memberikan sebarang kesan terhadap semangat atlet, tetapi pada masa sama pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa sehingga Julai ini.

Reezal Merican turut meminta MSN dan Persekutuan Renang Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan atlet dan pegawai ketika menyertai kejohanan Piala Dunia Terjun di Tokyo bermula 1 hingga 6 Mei ini.

“Tujuan mereka pergi untuk mendapatkan kelayakan ke Sukan Olimpik (kejohanan kelayakan terakhir), terutamanya bagi bekas juara dunia Cheong Jun Hoong.

“Sudah pasti akan ada protokol tempatan di sana seperti gelembung sukan dan ujian calitan,” katanya. – MalaysiaGazette