Ahli perniagaan, Chung Chee Yang yang menghadapi empat pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadinya ditahan semula anggota polis akta AMLATFPUAA di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki, Chung Chee Yang, 43, yang terlibat dalam kes pukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa telah direman tiga hari bagi membantu siasatan kegiatan haram yang dikendalikan Bukit Aman.

Semalam, Chee Yang yang merupakan seorang ahli perniagaan dan pelabur hartanah di Klang telah ditahan semula oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 Bukit Aman di Mahkamah Jalan Duta.

Dia ditahan sekitar jam 3.30 petang selepas selesai urusan pembayaran wang jaminan RM10,000 untuk empat pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua pengawal peribadinya pada 13 April lalu.

Pasukan polis AMLA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman terdiri daripada empat anggota telah membawa Chee Yang ke Menara KPJ untuk membantu siasatan berkaitan penglibatannya dalam kegiatan haram.

“Pagi tadi sekitar jam 11.45 pagi tadi permohonan reman untuk Chung Chee Yang telah dibaca di hadapan Majistret di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Majistret membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Pada 14 April lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis telah menyerbu  sebuah rumah di Batu Nilam, Bukit Tinggi, Klang selepas menerima laporn dua lelaki yang dibelasah oleh majikannya.

Hasil serbuan itu polis berjaya menahan empat suspek yang disyaki bersubahat dengan majikan mereka dalam insiden yang mencederakan kedua-dua pengawal peribadi itu.

Dalam siasatan itu, polis merampas mata wang dolar Amerika Syarikat berjumlah AS$12,500 dan 100 kilogram jongkong emas bernilai RM28.45 juta.

Rentetan daripada siasatan itu, polis mendapati majikan (Chee Yang) terlibat dalam kegiatan haram iaitu ah long dan judi.

Chee Yang pada Khamis telah didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas lima pertuduhan, mencederakan, mengacukan pistol ke arah pengawal peribadi sebagai menakutkan dan mengugut bunuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebelum diikat jamin RM50,000 untuk kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya.

Semlam, dii Mahkamah Majistret Jenayah, Jalan Duta, dia didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibenarkan ikat jamin wang RM10,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhannya.-MalaysiaGazette