Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat panggilan telefon pada sidang media selepas dipecat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu pihak dalam parti yang mahu bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim juga diambil tindakan.

Menurutnya, Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu melakukan siasatan mengenainya bagi menjaga keharmonian dalam parti.

Beliau juga mendakwa tidak tidak melanggar sebarang keputusan parti kerana UMNO sememangnya memutuskan agar bekerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

“Kalau saya ada salah, saya mesti diambil tindakan disiplin oleh partilah contohnya dalam pilihan raya saya menyokong parti lain.
“Tetapi apa dia keputusan parti? ia ialah No Anwar, No DAP dan terbaru No Bersatu tetapi ini ketika pilihan raya nanti.

“Jawatankuasa Disiplin tidak boleh berdiam diri jika ada yang melanggar parti iaitu No Anwar, No DAP, kita dapati ada surat yang ditulis oleh presiden kepada Agong yang disaksikan oleh Datuk Seri Najib.

“Saya terpaksa keluarkan balik kerana inilah yang melanggar keputusan parti,” katanya pada sidang media khas malam ini.

Beliau juga memberi bayangan akan mendedahkan cubaan sesetengah pemimpin UMNO cuba bekerjasama dengan Anwar selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.- MalaysiaGazette