Kebakaran di unit pertama rumah Flat PKNS yang menyebabkan seorang lelaki maut. Foto Ihsan Bomba KL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui rentung selepas kediamannya di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jalan Tun Razak, di sini, terbakar hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, kejadian melibatkan empat unit rumah di flat tiga tingkat.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.39 pagi.

“Seramai 20 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Titiwangsa, BBP Keramat dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku kebakaran membabitkan empat rumah di sebuah blok di flat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujarnya, anggota menemui mayat seorang lelaki berusia 54 tahun dalam keadaan rentung dalam sebuah daripada empat unit berkenaan.

“Kebakaran itu menyebabkan rumah pertama terbakar kira-kira 70 peratus dan tiga lagi rumah terbakar 30 peratus.

“Api dapat dikawal pada jam 7.02 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette