Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora memohon maaf kepada pihak pengurusan dan penyokong kelab itu susulan kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di tempat sendiri di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Mora bagaimanapun berjanji anak buahnya akan bangkit mencari kemenangan selepas tidak pernah kalah dalam liga hampir dua tahun

“Kita tidak pernah kalah selama hampir dua tahun, sedih dan saya minta maaf bukan sahaja kepada pihak pengurusan tetapi juga penyokong.

“Tetapi ini adalah bola sepak… sentiasa ada kemungkinan sama ada menang, kalah atau seri. Ya, kita tidak gembira dengan keputusan itu tetapi jangan risau kita akan dapatkan semula momentum kemenangan itu,” katanya dalam hantaran di Facebook Johor Southern Tigers di sini hari ini.

Malam tadi, rekod tanpa kalah 21 perlawanan JDT akhirnya lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada TFC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Gol tunggal yang dihasilkan Mohamad Hakimi Abdullah pada babak kedua sudah memadai buat skuad yang bergelar Penyu melonjak ke tangga kedua liga selepas mengumpul 21 mata dan hanya ketinggalan dua mata dengan JDT yang masih berada di tangga teratas liga. – MalaysiaGazette