GOMBAK – Pemandu kereta yang tular di media sosial kerana melanggar seorang penunggang motosikal ketika lampu isyarat berwarna merah telah tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemandu kereta Honda City berwarna putih itu hadir ke balai polis kira-kira pukul 5.08 petang.

Menurutnya, sebuah video tular di laman Facebook menunjukkan rakaman sebuah kereta yang bergerak ke hadapan lalu melanggar motosikal di hadapannya.

“Kejadian itu berlaku semalam kira-kira pukul 5 petang semasa pemandu lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci sedang dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Laman Damai, Kepong.

“Berdasarkan rakaman percakapan pemandu kereta, dia mengaku tidak perasan lampu isyarat di tempat kejadian masih merah. Apabila berlaku kemalangan jalan raya, pemandu telah terkejut dan berasa takut lalu terus pulang ke rumah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, saringan air kencing terhadap pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan serta maklumat penunggang motosikal diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 32 saat memaparkan sebuah kereta berwarna putih melanggar sebuah motosikal di hadapannya ketika lampu isyarat berwarna merah.

Pemandu motosikal dilihat terduduk di tepi jalan sementara kereta berkenaan terus meninggalkan lokasi kejadian. – MalaysiaGazette