Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Di sebalik laporan hasil kajian yang berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan agar Parlimen dibubarkan.

Secara sinis, Shahrir berkata, ia akan mengakibatkan Perikatan Nasional (PN) mampu mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

“Kan dah kata, PN dibawah kepimpinan hebat TS Muhyiddin kuat sokongan dari rakyat Malaysia.

“Hari itu, 67 peratus tahap sokongan popular. Sekarang, 79 peratus belia Malaysia puas hati dengan Tan Sri Muhyiddin.

“Memang patut Dewan Rakyat dibubar. PN akan pasti menang secara “landslide” dan dapat 2/3 kerusi,” katanya menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu merujuk kenyataan Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid bahawa sebanyak 79 peratus golongan belia dalam lingkungan umur 21 hingga 30 tahun berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Harris berkata, hasil kajian Merdeka Center bertajuk “Peninsula Malaysia Voter Perceptions On Issues, The Economy & Leadership” itu jelas membuktikan bahawa golongan tersebut akan menyokong Muhyiddin pada pilihan raya akan datang.

Kajian itu mendapati 67 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri termasuk 83 peratus masyarakat Melayu dan 66 peratus masyarakat India mengutarakan persetujuan terhadap Perdana Menteri.

Masyarakat Cina menunjukkan 30 peratus persetujuan. – MalaysiaGazette