Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi disini hari ini diberitahu bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan merupakan pencetus kepada pendedahan skandal 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Susulan pendedahan itu menyebabakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara lebih 60 tahun jatuh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata peguam yang mewakili Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon.

“Tanpa usaha dan keberanian plaintif untuk melaporkan isu skandal 1MDB di Malaysia pada 12 Disember 2014, ia tidak akan memudahkan usaha pihak berkuasa kepada penyelesaian skandal 1MDB itu.

“Khairuddin telah membuat laporan kepada Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara Disember 2014 dan 15 Januari sekaligus sehingga terbentuknya satu jawatankuasa khas untuk menyiasat skandal tersebut, katanya.

Mohamed Haniff berkata demikian ketika membacakan penyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan tujuh individu lagi, berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Namun, tambah beliau, tiada tindakan efektif yang diambil walaupun negara ketika itu dikejutkankan dengan pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pengkhianatan seorang individu yang menyebabkan usaha pendedahan skandal 1MDB terbantut.

Katanya, Khairuddin kemudian pergi ke Eropah untuk melaporkan skandal itu yang juga mempunyai kaitan di England, Perancis Switzerland, Luxemborg selain Amerika Syarikat dan Singapura yang menyaksikan terdapat individu dihadapkan ke mahkamah.

Bagaimanapun, Mohamed Haniff berkata, sekembalinya Khairuddin ke Malaysia beliau telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 18 September 2015 sebelum dibebas pada 18 November tahun sama.

Khairuddin, selaku plaintif dalam tuntutan samannya itu, telah ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh, ujarnya.

Berikutan itu, tambah beliau, anak guamnya itu berhak dan layak mendapat ganti rugi kerana kesilahan dalam penahanan dan pendakwaan yang bukan sahaja melanggar undang-undoing malah bercanggah dengan Perlembagaan.

Sementara itu, Mohamed Haniff turut mendedahkan kini Khairuddin masih lagi berhutang bayaran guaman sebanyak RM795,000 berikutan semua kes dihadapinya.

Selain kes saman terhadap Ketua Polis Negara (dinamakan sebagai defedan pertama) dan bekas Ketua Peguam Negara, Khairuddin turut menyaman Asisten Suprintendan Wan Aeidil Wan Abdullah, Asisten Suprintendan C. Muniandy dan Suprintendan Habibi Majinji.

Selain itu turut disaman ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan Malaysia.

Khairuddin menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, selain ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain.

Perbicaraan akan disambung dengan Khairuddin akan memberikan kenyataan. – MalaysiaGazette