Pekerja mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berada dalam pasar raya serta memakai pelitup muka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 04 FEBRUARI 20221

SETIAP tahun pada 28 April, seluruh dunia termasuk Malaysia akan menyambut Hari Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan Sedunia atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Word Day for Safety and Health at Work. Sambutan
Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini bermula pada tahun 2003 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Matlamat utama sambutan hari ini adalah bagi menekankan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite dan dialog sosial diantara pihak majikan, pekerja dan juga kerajaan.Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini juga disambut bagi memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan industri dan yang terdedah dengan penyakit ketika bekerja.

Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini juga telah diadakan setiap tahun dalam Malaysia sebagai peringatan kepada semua pihak dalam negara kita untuk mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja disemua
jenis sektor pekerjaan yang ada. Namun Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang telah sambut buat sekian lama ini disambut dalam suasana berbeza semenjak tahun 2020 yang lalu akibat daripada penularan virus Covid-19.

Penularan virus Covid-19 yang boleh mengancam tahap kesihatan dan nyawa manusia ini menuntut setiap pihak termasuk para pekerja untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan diri mereka tidak dijangkiti dengan virus Covid-
19 yang telah menyebabkan kematian lebih 3 juta manusia diserata dunia sehingga kini. Walaupun tiada sambutan
besar- besaran diadakan bagi menyambut Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia pada kali ini dan pada tahun yang lalu, ianya tidak bermakna kita perlu melupakan isu pokok atau mesej yang ingin dibawa melalui sambutan hari itu iaitu keutamaan semua pihak khususnya pihak-pihak yang berada ditempat kerja untuk mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan diri ditempat kerja.

Keutamaan harus diberikan oleh para pekerja bagi menjaga diri mereka daripada dijangkiti dengan virus Covid-19 berkenaan dan elakkan ianya tersebar ditempat kerja dan dalam kalangan masyarakat sekiling. Oleh itu, adalah penting untuk para pekerja mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan langkah- langkah pencegahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 seperti arahan pemakaian pelitup muka dan hidung dan penjarakan sosial.

Sikap ambil mudah terhadap aspek pematuhan SOP dan pengambilan langkah pencegahan ini tidak boleh dibiarkan berlaku.
Peningkatan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 dalam negara kita semenjak kebelakangan ini khususnya yang
membabitkan kluster tempat kerja harus menjadi peringatan kepada semua pekerja untuk mengambil serius terhadap
perkara ini.

Semua pihak di tempat kerja harus mainkan peranan mereka supaya tidak berlaku jangkitan ataupun penularan virus
Covid-19 ditempat kerja masing-masing. Pihak majikan sebagai ketua ditempat kerja harus mainkan peranan utama
supaya pekerja mereka sama ada pekerja warga tempatan ataupun warga asing dan tempat kerja mereka bebas daripada risiko jangkitan virus Covid-19. Sebagai seorang ketua ditempat kerja, pihak majikan perlu dengan sedaya upaya mereka memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja mereka berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Majikan perlu juga memastikan pekerja mereka tidak terdedah dengan risiko jangkitan penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan diri pekerja mereka serta orang lain dan ini termasuklah virus Covid-19 yang sedang berlaku pada masa kini. Pihak majikan perlu memastikan keadaan persekitaran tempat kerja berada keadaan yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka melakukan sebarang jenis tugas atau aktiviti kerja.

Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak majikan dalam menghadapi masalah penularan sebarang jenis penyakit berjangkit di tempat kerja mereka dengan mengenalpasti dan meminta pekerja mereka yang sakit untuk segera berjumpa dengan doktor serta melakukan pemeriksaan kesihatan dengan terperinci, melaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel dengan memberi kebenaran kepada pekerja mereka melakukan kerja dari rumah, mengalakkan para pekerja mereka untuk menjaga aspek kebersihan diri mereka dengan lebih kerap seperti membasuh tangan, memastikan keadaan tempat kerja sentiasa bersih dan selamat pada setiap masa serta memberi nasihat keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya kepada
pekerja mereka.

Pihak majikan juga perlu memberi pendidikan dan pendedahan maklumat kepada semua pekerja mereka terhadap penularan sebarang jenis penyakit yang sedang berlaku. Proses pendidikan dan pendedahan maklumat ini perlu meliputi proses mengenalpasti simptom-simptom penyakit serta langkah- langkah yang perlu diambil oleh pihak pekerja sekiranya mereka mensyaki diri mereka telah dijangkit dengan sebarang jenis penyakit.

Memandangkan virus Covid-19 sedang menular diserata dunia serta dalam negara kita pada ketika ini, pihak majikan perlu henti
menghantar pekerja mereka buat sementara waktu untuk membuat tugasan ke tempat atau lokasi yang terjejas teruk
dengan penularan virus penyakit berkangkit terbabit. Pihak majikan juga harus mengunakan segala kemudahan
teknologi sedia ada bagi melakukan mesyuarat, bengkel,seminar, kursus dan lain- lain aktiviti pekerjaan secara
dalam talian bagi mengelakkan risiko jangkitan virus Covid-19.

Perlu diketahui, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan para pekerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut moral sahaja malah ianya juga telah termaktub dibawah peruntukan undang-undang buruh dalam negara kita. Seksyen 15 (1) & (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kegagalan pihak majikan untuk mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan
Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] ini boleh menyebabkan majikan yang terlibat dikenakan denda sebanyak RM50,000
atau 2 tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan dibawah Seksyen 19 Akta
Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514]. Isu yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan
para pekerja tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak terutamanya oleh pihak majikan yang merupakan ketua di sesebuah ditempat kerja. Ianya hendaklah diberikan perhatian serius bagi mengelak perkara- perkara yang tidak diingini daripada berlaku dalam kalangan para pekerja dan masyarakat sekeliling.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast