Tertuduh Mohamad Faizal (kiri) dan Syed Amir mengaku tidak bersalah atas dakwaan terima suapan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Dua anggota polis masing-masing berpangkat inspektor dan koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta wang suapan daripada ejen provokasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melindungi kegiatan penjualan air ketum lima tahun lalu.

Koperal Mohamad Faizal Hashim, 35 dan Inspektor Syed Amir Syed Kamarul Baharim, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Koperal Mohamad Faizal (kiri) manakala inspektor Syed Amir (kanan) ketika membayar wang jaminan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama sebagai pegawai badan awam  didakwa meminta untuk diri mereka suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,500 daripada ejen provokasi SPRM yang menggunakan nama Faizal Rahim.

Kedua-dua tertuduh didakwa  melakukan kesalahan itu di Restoran Mashitah Tomyam, Kepala Batas pada 23 Julai 2016 kira-kira jam 8.30 malam sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan penjualan air ketum.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini yang menawarkan wang jaminan RM30,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan selain kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.

Hakim Ahmad Azhari menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dan mengenakan syarat tambahan yang dikemukakan Selvaranjini.

Syed Amir diwakili peguam, CP Ang manakala Mohamad Faizal diwakili Amrick Singh Sandu.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mohamad Faizal mengaku tidak bersalah ke atas empat pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,500 daripada ejen provokasi SPRM pada 25 Julai sehingga jam 6 petang, 6 September 2016.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Faizal didakwa sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu anggota polis yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan iaitu wang tunai daripada ejen provokasi SPRM sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan satu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya dengan melindungi penjualan air ketum.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tiga kedai makan di Bukit Mertajam dan Kepala Batas serta sebuah stesen minyak di Kepala Batas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Selvaranjini dan Siti Mastura Zakaria yang mencadangkan wang jaminan RM20,000 untuk keempat-empat pertuduhan selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai selain melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan.

Amrick Singh memohon wang jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dan Hakim Ahmad Azhari kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes disebut semula pada 28 Mei depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette