Keadaan cermin teksi yang pecah dalam satu insiden pergaduhan yang berlaku di Taman Permata, Hulu Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal dan pemandu teksi yang terlibat dalam satu insiden pergaduhan dan pecah cermin kereta di Taman Permata, Hulu Klang semalam ditahan reman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, adik kepada pemandu teksi yang turut terlibat memukul penunggang motosikal berusia 49 tahun itu turut direman.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang semalam, sebuah teksi dikatakan berhenti secara mengejut berhampiran sebuah lampu isyarat sebelum penunggang motosikal bertindak menarik keluar pemandu berkenaan dan menegur cara pemanduannya.

“Ketika itu, berlaku sedikit pertengkaran di antara mereka sebelum pengadu pulang ke rumah dan kembali semula ke lokasi dengan membawa sebatang besi disyaki absorber lalu memecahkan cermin teksi di bahagian belakang sebelah kanan.

“Pengadu turut memecahkan cermin bahagian pemandu kereta jenis Proton Satria milik adik kepada pemandu teksi terbabit di kawasan sebuah pasaraya di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, selepas kejadian itu, pemandu teksi bersama adiknya yang berusia antara 25 hingga 26 tahun telah pergi ke rumah pengadu lalu memukul dan melakukan ugutan.

Tambah beliau, polis telah menerima laporan daripada kedua-dua belah pihak dan kesemua mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, pengadu dan keluarga pemandu teksi ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan mereka mempunyai masalah kejiranan sebelum ini.

“”Kita nasihatkan kepada orang ramai supaya bertimbang rasa dan berhati-hati semasa memandu di jalan raya supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas oleh pengguna jalan raya yang lain.

“Selain daripada itu, orang awam dinasihatkan supaya jangan mengambil tindakan secara terburu-buru atau mengikut perasaan jika ada apa-apa kesalahan sebaliknya membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil,” ujarnya.

Jelas Mohamad Farouk, siasatan terhadap pemandu teksi bersama adiknya dibuat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan dengan sengaja mendatang kecederaan.

Sementara penunggang motosikal disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Terdahulu menerusi satu posting yang di muat di laman Facebook, seorang wanita mendakwa cermin teksinya dipecah menggunakan kayu oleh seorang individu akibat menghalang laluan motosikal ketika mereka sedang mengangkat barang-barang untuk berniaga di bazar Ramadan.

Akibat kejadian tersebut, wanita itu turut mendakwa beberapa dulang kuih terpaksa dibuang kerana terkena serpihan kaca.- MalaysiaGazette