BARU-baru ini, dunia sukan dikejutkan dengan dengan perancangan penubuhan Liga Super Europa. Pada mulanya, sebanyak 12 kelab bola sepak ternama menyatakan persetujuan untuk menyertai Liga ini. Liga baharu ini terdiri daripada enam Kelab liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea, Liverpool, Manchester United, Manchester City, Arsenal dan Tottenham Hotspur. Baki 6 kelab pula terdiri daripada kelab bola sepak Itali (Inter Milan, Juventus dan A.C. Milan) dan kelab bola sepak sepanyol (Atletico Madrid, Barcelona dan Real Madrid).
Namun, atas desakan peminat, kelab Chelsea dan Manchester City mula meninggalkan gabungan ini dan kemudian diikuti oleh empat kelab liga Perdana Inggeris yang lain. Gabungan Liga Super Europa yang baru dibentuk tidak sampai 48 jam ini tiba-tiba menuju kegagalan apabila kebanyakan kelab mula menarik diri. Naib pengerusi eksekutif Manchester United, Ed Woodward yang dikatakan berperanan dalam gerakan penubuhan Liga ini mengumumkan perletakan jawatan serta merta.
Ada desas-desus yang mengatakan bahawa dana sebanyak £3.9bilion dari bank Amerika Syarikat, JP Morgan digunakan sebagai dana permulaan Liga Super Europa. Menurut kata Presiden Kesatuan Bola Seak Eropah (UEFA), Alexander Ceferin penubuhan Liga Super Europa adalah suatu rancangan yang memalukan, berkepentingan dan seperti meludah ke muka peminat bola sepak.
Beliau juga memberi amaran bahawa pemain dan kelab yang menyertai liga ini
akan digantung daripada menyertai kejohanan Piala Dunia dan Europa. Rata-rata peminat dan individu yang terlibat dengan sukan bola sepak menentang gabungan Liga Super Europa kerana ketidakadilan format pertandingan yang hanya menjamin tempat kelab elit di dalam liga.
Mengikut perancangan, 15 kelab pengasas (founding club) akan tetap berada di dalam
liga meskipun menunjukan prestasi buruk di liga tempatan masing-masing. Hanya beberapa kelab jemputan yang berjaya di liga tempatan boleh mendapat tempat di dalam liga ini pada setiap tahun.
Ini boleh menyebabkan pertandingan liga tempatan menjadi suram dan tidak kompetatif. Mengikut kebiasaannya, kelab yang mendapat tempat teratas di dalam liga tempatan akan berpeluang bertanding di peringkat yang lebih tinggi. Ini bermakna, kelab yang tidak ternama masih berpeluang untuk bertanding ke peringkat seterusnya.
Selain daripada itu, menjadi kegusaran peminat yang merasakan kemasukkan ke dalam liga Super Europa ini akan menjadi kelab bolak sepak mereka menjadi suatu komoditi perniagaan yang mementingkan keuntungan dan wang ringgi semata-mata. Semangat kesukanan akan mula terencat dengan nilai-nilai komersial yang melampau.
Harga tiket yang akan meningkat naik dan yuran siaran langsung yang dimonopoli akan menyebabkan hanya segelintir peminat golongan kayangan dapat mengikuti sukan ini sahaja. Selain daripada itu pembinaan pemain-pemain muda daripada bakat tempatan juga dikuatiri akan terhalang dengan kemasukkan pemain luar.
Secara kesimpulannya, isu ini membuktikan bahawa kuasa peminat terhadap sukan bola sepak adalah besar, sepertimana yang seringkali dilaungkan ‘’Football is for the fans’’. Bertindaklah mengikut halatuju memajukan sukan bola sepak yang seimbang, jujur dan adil. Janganlah ada pihak yang cuba untuk mengambil langkah mudah membina kekayaan sendiri dengan melupakan inti pati dan semangat kesukanan yang sebenar.
Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia.