KUALA LUMPUR – Pengisytiharan darurat di negara ini sepatutnya untuk menurunkan kes jangkitan Covid-19 bukannya menekan rakyat dengan jumlah kompaun yang tidak masuk akal.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang bersimpati dengan peniaga colek dikompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa mempersoalkan di manakah nilai perikemanusian jika peniaga kecil pun dikenakan kompaun.
Menurutnya, sebelum ini, rakyat ditekan dengan kompaun RM10,000 kini ditambah menjadi RM50,000.
Tegasnya, jika perkara ini berterusan lagi, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminda Akta 324 yang dikatakan untuk mengurangkan penularan Covid-19 terbukti gagal.
”Tiada beza kerajaan PN dengan PH (Pakatan Harapan) jika terus menekan rakyat. Lebih teruk, Menteri UMNO akan mendapat nama yang buruk kerana kegagalan kerajaan yang dipimpin oleh Bersatu ini.
”Lepas ini mungkin kita dengar Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang pula dikompaun RM50,000,” ujarnya yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Kecil Luar Bandar. – MalaysiaGazette