Foto Twitter Lion City Sailors FC.

KUALA LUMPUR – Kelab terkaya Singapura, Lion City Sailors bercita-cita menjadi kelab bola sepak yang digeruni di Asia apabila merancang untuk membina fasiliti latihan canggih lengkap dengan pelbagai kemudahan sukan termasuk sebuah akademi.

Menurut laporan The Straits Times, fasiliti latihan yang bernilai RM31 juta itu dijangka  siap sepenuhnya pada bulan April tahun depan yang dilengkapi lima buah padang, gimnasium, bilik persalinan serta pusat sains sukan.

Lebih menarik, pusat latihan itu juga mempunyai kafe untuk orang awam dan ruang menjalankan aktiviti komuniti dengan masyarakat setempat melalui pelbagai program akar umbi.

“Mattar Road akan menjadi rumah baharu para pemain  yang mana kita akan mengasah bakat muda dan mempersiapkan pasukan senior untuk memenangi pelbagai kejuaraan.

“Saya juga teruja untuk membuka pintu kepada program komuniti bola sepak melalui usaha ActiveSG.

”Kemudahan ini bukan sahaja membantu Lion City Sailors dalam membangunkan bakat baharu, tetapi juga untuk membantu mengangkat komuniti bola sepak di negara kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sailors, Chew Chun Liang.

Lion City Sailors sebelum ini dikenali sebagai Home United dan kemudian ditukar nama selepas diambil alih oleh pemilik syarikat Sea Group yang sebelum ini dikenali sebagai Garena iaitu Forrest Li.

Forest Li bukanlah nama asing dalam bola sepak Singapura kerana jutawan yang berusia 42 tahun itu merupakan anggota majlis Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sejak 2017 dan menyertai jawatankuasa pengurusan Home United.

Beliau juga merupakan pemilik dan pengasas platform e-dagang popular di Asia iaitu Shopee dan pengambilalihan itu menjadi satu petanda perubahan untuk bola sepak Singapura bagi mencapai sasaran layak ke Piala Dunia 2034.

Tahun lepas, kelab itu melabur RM4 juta membina sebuah akademi bola sepak sendiri dan menerima penarafan satu bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). – MalaysiaGazette