Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sekali lagi menunjukkan ia kini dalam kedudukan yang agak sukar. Baru-baru ini ia telah mengadakan kunjungan hormat terhadap parti-parti pembangkang seumpamanya untuk menjamin survival politik bagi menghadapi PRU 15 yang bakal menjelang.

Sebenarnya ramai sudah khuatir dengan matlamat MUDA dan ‘end-game’ yang dikejarnya. Dari perjuangan yang kurang jelas sehinggalah mengangkat ideologi liberal yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia, Parti MUDA telah menunjukkan bahawa ia tidak mampu menjadi kuasa ketiga ataupun “third force” dalam arena politik kerana tidak berpijak di bumi yang nyata.

Tanpa status sebagai parti politik berdaftar, MUDA tidak dibenarkan untuk bertanding menggunakan lambangnya sendiri. Lebih-lebih lagi, persoalan kerusi yang akan ditandingi MUDA juga tidak jelas. Sudah tentunya perkara ini juga dibincangkan semasa kunjungan-kunjungan hormat ini.

Nampaknya selagi tiada pengumuman pakatan politik baru, maka peluang untuk MUDA bertanding dalam PRU yang akan datang semakin menjadi bayangan. Hakikatnya, MUDA sudah gagal. Parti itu sehingga kini tidak dapat menyebarkan pengaruhnya ke kawasan luar bandar, terutamanya di luar kawasan Lembah Klang.

Ini kerana ideologi liberal mereka tidak padan dengan aspirasi pengundi muda luar bandar. Perjuangan mereka jauh lebih padan dengan keperluan orang muda di bandar seperti hak kebebasan bersuara dan LGBT.

Perjuangan untuk agenda liberal sama sekali tidak akan membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar. Para pengundi dalam kumpulan umur yang lain juga tidak terpedaya dengan lakonan Syed Saddiq. Mereka semua tahu bahawa Syed Saddiq masih di bawah naungan ayahandanya, Tun Dr. Mahathir.

Kunjungan hormat baru-baru ini antara barisan pimpinan MUDA dengan Tun Dr. Mahathir di Yayasan Pimpinan Perdana hanya mengukuhkan kepercayaan bahawa Parti MUDA hanyalah percaturan politik Tun Dr. Mahathir dalam cubaannya merampas balik tampuk kuasa dari Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rentetan itu, sudah berminggu-minggu media melaporkan terdapat perbincangan mengenai kemungkinan Parti Warisan Sabah, satu lagi parti yang dipimpin oleh penyokong tegar Tun Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Shafie Apdal, melebarkan sayap ke Semenanjung dengan menyerap masuk pimpinan dan anggota Parti MUDA sebagai jentera di Semenanjung. Syed Saddiq sendiri juga telah memberi tanda isyarat mengenai gabungan ini.

Malangnya, nampaknya gabungan ini tidak akan membawa mana-mana manfaat, terutamanya kepada Warisan. Parti MUDA tidak mempunyai sokongan akar umbi yang jelas. Jadi, persoalan untuk Parti MUDA dari mulanya adalah “Apakah matlamat MUDA?”.

Jawapannya selain daripada melanjutkan agenda liberal adalah memastikan survival politik Syed Saddiq. Barisan pemimpin yang dipilihnya nampak sangat tidak berpengalaman dengan hanya reti berdemo dan membuat laporan polis.

Pada masa kini yang tidak menentu untuk rakyat jelata, adakah berbuat demikian akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi rakyat? Tidak. Program-program dan inisiatif yang kononnya anjuran Parti MUDA sebenarnya diusahakan oleh Syed Saddiq sendiri.

Pada masa yang akan datang, Syed Saddiq akan menunjukkan wajah sebenarnya demi mengelakkan daripada tuduhan korupsi terhadapnya yang sehingga kini masih dalam siasatan. Parti MUDA hanyalah tipu muslihat Syed Saddiq supaya beliau tidak
dianggap sebagai pengkhianat perjuangan.

Di sebaliknya, tiadanya musuh atau rakan politik yang berkekalan. Kesemuanya berpaksikan matlamat dan agenda yang bersesuaian keadaan semasa. Para pengundi muda perlukan pemimpin yang tidak kotor dan berintegriti. Syed Saddiq bukanlah penyelesaian untuk kemelut politik kini mahupun masa hadapan, sebaliknya merupakan penyebab masalah-masalah politik yang terjadi sehingga hari ini.

Asyraf Hakimi
Pemerhati politik