Kementerian Kewangan

Saudara Pengarang,

Akhir-akhir ini, topik mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) menjadi hangat.

Puncanya hanya kerana kerajaan mahu menggunakan dana daripada tabung itu untuk tujuan melawan Covid-19 yang kini kembali mengancam selepas agak reda buat seketika.

Ramai juga yang menyoal kenapa kerajaan menggunakan dana yang di peruntukkan untuk kegunaan generasi masa depan.

Pada pandangan saya, dalam keadaan krisis kesihatan luarbiasa dan global sebegini, apa-apa juga sumber kewangan yang sah patut digunakan Kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

KWAN adalah dana yang sah di sisi undang-undang dan ia adalah simpanan wang yang tersedia untuk digunakan di masa kritikal, jadi tidak perlu isu ini dipolitikkan sementara rakyat resah mahu diselamatkan. Malah ada pula pengkritik yang menyarankan Kerajaan meminjam dari sumber lain selain dari menggunakan KWAN—bukankah ini akan mengakibatkan lebih tinggi hutang negara?

Seharusnya, kita mahu kerajaan bertindak segera memastikan program vaksinasi berjaya dan ribuan nyawa diselamatkan.

Hakikatnya, KWAN ialah satu kumpulan wang amanah yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 untuk mengumpulkan hasil daripada pengeluaran komoditi negara seperti petroleum yang dijangka susut suatu hari nanti. Dana yang dikumpul dalam tabung ini bukannya hasil cukai dikenakan terhadap rakyat, sebaliknya penyumbang terbesar adalah Petronas, malah syarikat atau orang perseorangan juga boleh membuat sumbangan.

Diurus dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan generasi akan datang terus terpelihara dan mendapat manfaat bila sumber hasil bumi negara berkurangan.

Itu matlamat KWAN ketika ia ditubuhkan 33 tahun lalu. Kini, nampaknya kita lah generasi ‘masa depan’ yang disebut-sebutkan dalam akta penubuhan KWAN. Adakah menjadi satu kesalahan besar untuk menggunakan dana itu bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat hari ini?

Kerajaan telah menghabiskan beratus billion dalam menangani wabak Covid 19 sejak tahun lalu. Maka, kita perlu Kerajaan bertindak pantas dan mengguna apa saja kemampuan kewangan yang ada untuk memastikan kesan wabak ini dikawal sebelum sistem kesihatan negara menjadi kritikal seperti yang berlaku di negara lain seperti India dan Brazil. Malah, Kerajaan Jepun sudahpun terpaksa mengisytiharkan darurat di Tokyo.

Mengikut laporan minggu ini dari Kementerian Kewangan, negara masih dibelenggu legasi hutang tidak produktif lebih RM1 trilion. Ia termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembiayaan secara off budget (PFI) untuk perbelanjaan off balance sheet.

Pada pandangan saya, negara tidak harus terus meminjam lagi jika ada tabung simpanan sedia ada seperti KWAN. Malah, segerakanlah supaya rakyat kita semua dapat diselamatkan! Dari segi memastikan wang KWAN tidak disalahguna untuk tujuan lain, jelas subseksyen dalam Seksyen 6 Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN), memperuntukkan dana KWAN itu hanya untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Laporan tahunan KWAN pada 2016 menyebut yang wang KWAN sebelum ini pernah digunakan bagi memulihara tanah paya di Putrajaya. Jika begitu, adakah salah untuk mahu membeli vaksin bagi melindungi negara dan rakyat pula?

Jika krisis pandemik ini masih belum ‘cukup syarat’ untuk dana KWAN digunakan, agaknya sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya. Tatkala negara dilanda krisis pandemik COVID-19 dan tamparan ekonomi yang hebat lah masa yang paling sesuai dana KWAN diguna pakai.

Mohd Azmi Adnan
Salak Tinggi

2 Komen

  1. Setuju dengan penulis. Rakyat rata rata faham. Yang dok buat buat bengap (atau sememangnya bengap) ialah ahli ahli politik yang nak menangguk di air keruh. Konon2 diorg saja yg layak pakai dana tu. Padahal masing masing nk jadikan isu utk jatuhkan kerajaan sekarang.

  2. Masalahnya kerajaan membazirkan banyak wang dgn sia2 spt mebayar gaji lebih 70 menteri2 yg tak berfungsi..makan gaji buta termasuklah Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah…dan dasar2 kerajaan seperti Darurat menjadikan pelabur takut dan ekonomi merundum. Tak cukup dgn itu kerajaan yg sama ni lah termasuk PM yg dulu menjarah duit Petronas, menghapuskan GST dan menjual pelbagai aset negara yg sampai hari ni tak tau kemana pergi duitnya

Comments are closed.