Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kes kematian akibat jangkitan Covid-19 di dalam negara terus mencatatkan dua angka dengan 15 kematian direkodkan hari ini.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 1,492 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kematian itu sembilan kes melibatkan wanita dan enam lelaki dengan mangsa berusia antara 26 hingga 91 tahun.

“Kesemua kematian direkodkan masing-masing empat kes di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga kes mati di Selangor, dua kematian di Sarawak dan masing-masing satu kes di Johor dan Sabah.

“Seramai 14 individu daripadanya adalah warga tempatan dan seorang warga asing yang meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 3,332 kes harian baharu direkodkan dengan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 404, 925 kes, ujarnya.

Katanya, sebanyak 1,943 kes sembuh direkodkan dengan jumlah kumulatif meningkat kepada 375,340 kes manakala 28,093 kes aktif.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes harian tertinggi dua hari berturut-turut dengan 1,083 kes diikuti Sarawak (522 kes), Kelantan (401 kes), Kuala Lumpur (359 kes), Johor (207 kes) dan Pulau Pinang (158 kes).

Menyentuh mengenai kluster Covid-19, Dr. Noor Hisham memberitahu, sebanyak 12 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Tambahnya, ia melibatkan empat kluster komuniti, dan masing-masing tiga kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kluster tempat kerja serta dua kluster keagamaan.

Tambah beliau, kluster komuniti terdiri daripada Kluster Bukit Rotan di Selangor, Sileng Dayak (Sarawak), Kampung Pemanok (Kelantan) dan Raub Jaya (Pahang).

Kluster institusi pendidikan KPM adalah Kluster Tabuan Jaya di Sarawak, Batu Lada (Kelantan), Jalan Abdul Rahman Andak di Johor.

Manakala kluster tempat kerja dikesan di Jalan RP Tiga, Jalan Tiga Belas-Tiga di Selangor, Jalan Adika Raja (Perak) dan kluster keagamaan dikesan di Kampung Parit Bunga (Johor) dan Jalan Pokok Assam di Perak.

Katanya, setakat ini sebanyak 1,638 kluster dikesan dan 1,260 kluster ditamatkan termasuk empat kluster hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Usahawan, Kluster Jalan Azlan, Kluster Banggol Chicha, dan Kluster Jalan Sebelas.

“Jumlah kluster aktif adalah 378 kluster dan sebanyak 83 kluster merekodkan pertambahan kes baharu.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster DTI Lenggeng (43 kes), Kluster Raub Jaya (38 kes), dan Kluster Jalan Adika Raja (33 kes),” ujarnya.-MalaysiaGazette