Kuih Kalakatar menu wajib berbuka puasa bagi masyarakat Banjar.

PARIT BUNTAR – Kuih Kalakatar. Sebutannya agak pelik namun siapa sangka kuih itu  merupakan menu wajib ketika berbuka puasa bagi masyarakat Banjar di negeri Perak.

Kuih yang kian hilang ditelan zaman itu juga popular dengan nama bingka kelapa muda kerana isi dan air kelapa merupakan ramuan utama dalam menghasilkan kuih tersebut.

Raenah Ahmad.

Pembuat kuih Kalakatar di Tanjung Piandang, Raenah Ahmad, 73, berkata, Kalakatar yang membawa maksud ‘ketika panas’ itu sangat popular pada bulan Ramadan.

Jelas wanita yang juga peniaga pelbagai kuih tradisional di Parit Tok Ngah, kuih tradisional masyarakat Banjar itu sukar diperoleh kini memandangkan tidak ramai anak muda daripada keturunan tersebut mengetahui cara pembuatannya.

“Saya warisi resepi ini daripada ibu sejak zaman bujang dan mendapat tempahan ramai pihak memandangkan saya masih mengamalkan cara pembakaran meletakkan api di bahagian bawah atas menggunakan sabut kepala.

Raenah menggunakan sabut kelapa untuk membakar kuih Kalakatar.

“Sudah lebih 30 tahun saya berniaga kuih Kalakatar di sini dan tidak ramai orang mengetahui berhubung kewujudan kuih tersebut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Raenah, cara menghasilkan kuih itu mudah sekiranya kelapa yang dipilih itu tepat iaitu tanpa isi yang keras.

Isi dan air kelapa muda merupakan ramuan utama untuk menghasilkan kuih Kalakatar.

“Nak hasilkan kuih ini makan masa dua jam kerana kita perlu pastikan lapisan atas tidak rentung namun bahagian dalamnya masak.

“Jika pemilihan isi dan air kelapa muda itu betul ditambah dengan cara penyediaan yang teratur sudah semestinya kuih yang dihasilkan itu sedap,” kata Raenah.

Satu bekas kuih Kalakatar dijual dengan harga RM25.

Dalam perkembangan sama, Raenah mengakui kuih Kalakatar itu akan lenyap tidak lama lagi memandangkan orang Banjar kini tidak lagi tahu cara menghasilkan.

Orang ramai yang ingin mencuba kuih Kalakatar boleh menghubungi Raenah di talian 013 501 6178 atau 012 532 3167 untuk tempahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast